Monday, December 31, 2012

Omelan #27

Dan hari berlalu,
Membawa bersamanya memori seribu satu
Ada duka ada suka
Terpahat kekal dalam diri,
Sebagai kenangan dan pengalaman.

Moga tahun baru,
Beri sirna baru,
Tiada lagi suara tinggi,
Tiada lagi lentingan haru biru,
Sejujurnya aku sudah tidak terima lagi semua itu,
Dari seorang ibu sejak aku tingkatan satu.

Entah, kadang hati jadi pilu.
Aku tak mengajarmu dengan tengkingan dan lentingan.
Penuh lembut dan kebudian.
Mungkin itu benar dan mungkin itu silap.
Aku terperangkap dalam sangkar dilemma.

Friday, December 28, 2012

Omelan #26

Masa berlalu dan ia tak akan pernah berundur
Ia buat kita kian matang dan berusia
aku disini tidak akan pernah ada hak untuk mempertikai dan mempersoal
mungkin suratan takdir telah menentukan
aku kau mereka dan kita
berubah mengikut masa yang pantas berlalu.

Monday, December 24, 2012

Omelan #25

Hati ini rumit dan kompleks
Tuan hati juga gagal untuk memahami
Mana mungkin yang lain mengerti bila diri sendiri kabur dengan hati
Aku telan dan aku lalui.
Biar hati itu temui apa yang dicari
Dan hingga kini aku tak jua mengerti.

Saturday, December 15, 2012

Omelan #24

Dunia
adakah kau kejam kepadaku
atau aku insan yang tidak bersyukur
bolehkah aku mempersoal perkara itu dan ini
tidak bukan
aku perlu kuat dan sabar
teruskan langkah menongkah
moga sinar itu tidak hilang

Tuesday, December 11, 2012

Omelan #23

sejuk angin dingin pagi aku redah tiap hari ,
untuk wang guna dunia hari ini ,
aku penat dan lelah ,
aku tolak tepi sengsara dan derita ,
lihat kau gembira ke sana ke mari bersama keluarga,
penat kau sebab kegembiraan ,
penat aku sebab wang.
ada masa aku lelah ,
aku tak terlarat melayan karenahmu ,
kau minta difahami ,
kenapa aku kau tidak cuba memahami.

bukan aku mempersalahkan ,
tiada apa salah tentangnya ,
cuma penat kita berbeza ,
dan kadang buat aku kecewa ,
bila kau menyamakan.

aku orang susah ,
tak punya harta dan kesenangan ,
dulu kini dan mungkin selamanya,
apa yang aku ingin semuanya hasil usaha sndiri ,
aku x punya permintaan tinggi ,
cuma minta kau bersyukur dengan hidupmu ,
kau tidak duduk ditempatku .

mungkin susah yang kau rasa itu sudah cukup susah ,
tapi sedarlah ,
aku juga rasa aku sudah cukup susah dgn hidupku ,
sedangkan ratusan dan jutaan insan punya hidup yang lebih sukar dari aku.
dimana nilai syukur.

tatkala lafaz penat aku lafaz ,
aku maksudkan dengan perincian ,
aku bekerja keras untuk hidup aku ,
boleh kau jadi penghibur aku?
bukan tambah kepenatan aku.
aku mahu kau disisi sebagai bidadari.
buat menghiasi fitrah manusiawi.

mungkin kataku ini kau salah tafsir,
kau akan fikir itu dan ini ,
cuma aku mahu kau tahu ,
tak mahu aku pendam ini dan menjadi barah ,
hanya untuk aku kecapi kelepasan diri.
bahagia,gembira dan puas dengan hidup aku sendiri.

Thursday, December 6, 2012

Omelan #22

Kadang hati ini berbicara , aku mahu seperti mereka.
Kadang hati ini memberontak , aku mahu apa yang mereka ada.
Kadang hati ini menangis , kenapa aku tidak seperti mereka.
Kadang hati ini sugul , kenapa aku tak kecapi apa yg mereka kecapi.
Namun , bicara hati tak semua boleh diikuti.
Hati. Terimalah dan bersyukurlah dengan hidup ini.

Omelan #21

Awas bila si lelaki atau perempuan mula cepat marah atau beralasan tidak semena , kerna segalanya bakal tamat dalam tempoh terdekat.

Friday, November 23, 2012

Omelan #20

Kata kata aku hanya menyakitkan telinga,
Bait bait yang dilafaz hanya dianggap bebelan kosong tiada makna,
Aku cuma risau dan takut,
Bukan mencegah lebih baik dari berubat?
Tapi siapa aku.
Aku perlu sedar diri.

Wednesday, November 21, 2012

Omelan #19

Dan mungkin sahaja diri kita hilang yakin
Rasa apa yang terjadi sudah suratan takdir
Pasrah tunduk dan merelakan
Biarlah begini andai itu yang terbaik.

Tuesday, November 20, 2012

Omelan #18

Mungkin kerana terlalu lama bersama dan ia membawa pada hilang punca untuk bersuara.
Mungkin hadir kawan baru mampu beri kebahagian. Aku menggalakkan kerana aku juga bahagia melihat kebahagian.
Itu uniknya bahagia. Walau bukan kita yang merasa,kita akan tumpang sama.

Sunday, November 18, 2012

Omelan #17

Hari ini kau jadi malaikat, esok kau jadi setan.
Di sini kau begini , di sana kau macam itu,
Kau badut dunia?Melawak dengan hukum tuhan.
Moga kita sempat bertaubat.

Friday, November 16, 2012

Omelan #16

cuti , makan dan gemuk. aku suka semua itu.

Saturday, September 22, 2012

Omelan #15

Mungkin kini aku perlu nekad, Tiada lagi kebudakan. Tiada lagi gurau yg berlebihan. Tiada lagi keanak-anakkan. Moga ku berjaya.Aku mahu menjadi aku.

Wednesday, September 19, 2012

Omelan #14

Rasa kosong. Aku insan kotor. Keaiban dan dosa melambung tinggi. Mungkin sudah tiba saat untuk berhenti, Aku tak mahu membawa sesiapa ke neraka. Kalau benar, biar aku seorang, Aku tak mahukan ia tapi banyak tindakan aku terjerumus kepadanya. Maafkan aku.Aku silap dalam menjaga hubungan sesama manusia dan juga hubungan kepada allah.

Sunday, September 16, 2012

Omelan #13

Berikan yang terbaik agar dapat yang terbaik. Andai tak jua, mungkin pada diri ini ada kurangnya. Jangan mempersalah kerana kita akan dipersalah. Aku pilih terus terang tapi aku yg terima kesannya. Itu buat aku takot . Aku bukan jenis diam dan pendam. Terus.terang.

Saturday, September 15, 2012

Omelan #12

Kenapa dengan aku.Gagal lagi kawal emosi. Kenapa perlu jadi bodoh.Kenapa perlu jadi dungu.Yang berlalu biarkan berlalu.Tak perlu terdesak atau tertekan. Biarkan damai yang dicari. Duduk diam. Duduk senyap. Terima.

Saturday, September 8, 2012

Omelan #11

Sebenarnya aku ini siapa. Insan yang terhegeh atau naif? Kenapa aku sering rasa diri ini x layak ada perasaan? Mungkin sebab sudah penat dilayan bagai aku tiada hak berperasaan. Pernah jua aku disisih. Sebab memang aku tiada kepentingan. Itu sebab aku suka menyendiri. Jauh dari manusia yang pentingkan diri dan emosi sendiri. Lagi kecewa bila aku dinafikan hak aku. Entah. Aku dalam dunia manusia hedonisme.

Friday, September 7, 2012

Omelan #10

Salah itu aku, hanya dipundakku. Mungkin bila ia kian berat dan tak tertanggung lagi. Aku jatuh dan berhenti. Aku menyerah kalah saat itu. Harap tak begitu.

Thursday, September 6, 2012

Omelan #9

Tetapkan hatiku wahai allah tuhan sekalian alam. tika ini aku merintih penuh rasa kehambaan dan kehinaan, hanya pada mu aku berdoa dan aku luahkan. hati aku sedang sakit. kosong yang lama mungkin. hadis dan quran jauh dari aku utk beberapa bulan ini, aku rindukan petunjuk hidayahmu.

allah tuhan agung. campakkan aku kecintaan aku padamu. kembalikan fokus ak pada mengagungkanmu,, aku leka. aku lalai. jangan kau buang aku kerana aku melupaimu. tak sanggup aku hidup dalam dunia milikmu seandainya aku tiada dalam pemerhatiaan mu. jangan sisihkan aku.

allah tuhan alam dan galaksi. aku bukanlah hamba yang selalu dalam jln yg lurus.bimbinglah aku..kurniakan dan berilah aku pembimbing. aku tak sanggup lagi jauh dari mu. aku mula rasa sepi dan kosong.

duhai pencipta hati manusia..tetapkan hati aku, berikan aku hidayah. kurniakan aku kesabaran. titipkan pada diriku rasa rindu dan cinta yang berpanjangan kepadamu. tunjukkan dan bimbingi aku ke jalan yang lurus.

#aku semakin jauh. hanyut dalam hedonisme dan kelaghaan dunia. astagfirullah.

Tuesday, September 4, 2012

Omelan #8

Aku mahu duduk diam membisu tapi aku tak mampu. Aku mahu luahkan segala yang terbuku tapi siapa yang mahu. Aku derita disini . Aku sengsara disini. Mana langkah yang wajar aku tuju.Aku buntu.

Monday, August 13, 2012

Catatan Diari #1

PBS terakhir di Sk Seri Machap. Mungkin ber'pbs' 3 hari sahaja. Cuti raya awal. Bersama tiga rakan lain dalam pengkhususan yang sama. Ajlani, Hakim dan Asyraf. Pagi ini tidak turun ke perhimpunan. Tidak mahu turun naik tangga. Mudarat buatku yang masih dalam mc panjang. Baru 7 minggu selepas pembedahan peha. Bukan manjakan diri tapi ianya perlu agar aku tidak tempang pada masa hadapan.
Aku harap pbs kali ini, semua tugasan dapat disiapkan.Walaupun tiada coverage 3g dan wifi, aku harap esemen yang banyak dapat diselesaikan.Biasalah sekolah diluar bandar, kemudahan asas sahaja. Tapi itu bukan halangan untuk aku siapkan kerja yang tertangguh.
Baru mendengar berita sedih. PBS 4 hari dan bukan 3 hari. Sekolah disini tidak ambil cuti lebih. Oh, sabar sahajalah duhai hati.

Sunday, August 12, 2012

Omelan#7

Aku terasa lagi hari ini. Sikap manusia yang pelik dan sular difahami.
Aku bukan minta disanjungi cuma lihat aku.
Aku disini ada didepan matamu.Aku wujud.
Aku bagai ghaib dimatamu.Insan lain hadir dalam hidupmu tapi bukan aku.
Kadangkala mahu aku pandang enteng ilmumu,
Apa guna dada berilmu,andai adab sesama manusia kau kosong
Hayati kisah sirah duhai sahabat.
Lihat..Hayati..Selami..Praktikkan,
Walau aku belajar tak setinggi ilmumu,
Tapi aku tahu nilai peradaban manusia.
Manusia yang punya hati dan perasaan.
Moga satu hari nanti kau jelas..
Ilmu itu dibuku.
Hanya dihati bila kau mampu mempraktikkan .
Ingatlah kata ini,
Pesanan dari aku insan kotor dimatamu.

Thursday, August 9, 2012

Omelan#6

Perlukah aku meninggalkan
Agar kebebasan dan kebahagian yang dirasa kian mekar
Aku batu penghalang
Aku pemisah dan pembawa bencana

Kataku menyukarkanmu
Bait baitku api permusuhan
Aku risau
Kita akan jadi seteru

Mana silapnya.
Ya,aku silapnya
Aku puncanya.
Aku segalanya
Maafkan aku.
Ini terjadi antara kita.

Tuesday, August 7, 2012

Omelan#5

Ku jejak lagi ke sini
Entah untuk ke sekian kalinya
Sudah tidak terkira aku rasa
Puteh, sejuk dan dingin
Berjalan para doktor yang bijaksana
Beriringan juga nurse ke sini dan sana
Aku kini dihospital.

Aku disini mengomel .tanpa rentak tanpa lagu, saja. mahu menulis apa yg ada dibuku hati.

Monday, August 6, 2012

Tersirat#1

Rasa mahu sahaja bebas melata atas dunia ini tapi apakan daya pergerakan terbatas.
Dunia sekitar alam maya. paling dekat di tempat ku belajandan paling jauh aku pergi ke amerika.
Aku lihat telatah manusia, kegembiraan mereka dan kejayaan yang diperoleh.Aku cemburu pada mereka.
Tika ini hanya satu aku pinta. Oh nikmat Tuhanku. segeralah pulang pada ku.
Aku tahu aku bukan insan mulia untuk dikabulkan doanya secepatnya.
Namun, aku pasti suatu hari doaku akan diperkenankan jua.
Aku boleh berlari , berjalan dan yanh utama melihat dan menginsafi ciptaan serta nikmat dari Illahi.

Sunday, August 5, 2012

Omelan#4

Jangan sampai sifat kemanusiaan dan peradaban hilang dalam diri. Teruskan perkara yang hak, kerana atas setiap manusia ke atas manusia ada haknya. Hari ini mungkin dia yang susah dan kita sebagai pemudah cara. Hari lain mungkin Allah akan datangkan seseorang kepada kita sebagai pemudah cara. Bukan orang yang sama tapi tujuan dan niatnya yang sama yang pernah kita lakukan dulu. Usahlah berkira andai kita punya kemampuan apatah lagi punya lebih dari secukupnya.Allah suka dan sayang pada hambanya yang cuba memenuhi hajat/keperluan hambanya yang lain.

Saturday, August 4, 2012

Omelan#3

Dalam hidup tak akan lepas dari rasa sunyi dan keseorangan. Saat itu pelbagai perkara dan agenda akan bermain dalam minda. Perasaan akan bercampur dan keliru, Gembira, sedih dan murung. Kita kadangkala akan melakukan perkara yang tidak pernah disangka sangka. Dan bila segalanya tidak dapat memuaskan hati, kita putuskan bahawa kematian adalah jalan penyelesaiannyaa.

Sebenarnya itu bukan jalan bijak dan terbaik. Kita Islam. Perbuatan kita didunia ini segalanya akan dihitung. Kita akan beratur panjang dipadang yang panas terik dan gersang untuk ditimbang amal kebaikan dan keburukan. Andai atas dunia, hak tuhan kita abaikan maka sengsara lah jawabnya.Hedonisme membawa padah.

Baik kita cari Tuhan, Dekatkan diri kepadanya. Padanya ada ketenangan dan kedamaian.Dia pemilik rasa dan perasaaan. Hanya padanya kita wajar meminta dan mengadu. Allah,kurniakan aku ketenangan dan kegembiraan.

Monday, July 30, 2012

Omelan #2

Aku mempersoal , tatkala manusia melakukan kesilapan maka masyarakat selalu mengecam. Di institusi pendidikan , mereka yang melakukan kesalahan akan dibuang. Selepas itu apa nasib mereka? Terus dalam kejahilan dan kemaksiatan atau sebaliknya? Kenapa tidak mengambil jalan membimbing dan mendampingi. Lepas tangan. Itu kesimpulannya. Siapa kita nak buang dia. Berapa jam sahaja masa yang kita peruntukkan kepadanya. Mudah mudah mahu buang . Lepas tanggungjawab. Manusia itu sifatnya perlukan bimbingan dan panduan. Dibiar tanpa arah , tanpa jalan maka sesat.

Manusia mudah membuat konklusi. Hari ini kau celaka selamanya kau celaka. Adilkah begitu. Sampai saat ia terjadi pada diri kamu atau keluarga kamu. Baru akan sedar. Itu lumrahnya. Aku kasihan melihat hal ini tapi apakan daya. Siapa aku disini. Teringat zaman sekolah. Semakin nakal kawanku, semakin rapat ustazku padanya. Bertahun lamanya. Alhamdulillah hari ini dia menjadi insan. Bimbingan. Kita semua perlukan bimbingan. Hukuman itu bimbingan tapi buang itu dendaan yang bawa kecelakaan.

Sunday, July 29, 2012

Omelan #1

Atas dunia fana ini sukar cari bahagia yang hakiki.
Mana mungkin bertemu bahagia bila yang dipijak bersifat sementara.
Pernah dulu rasa gembira dan ceria.
Tapi esok tidak menjanjikan apa - apa.
Itu sifat dunia. Perlu tahu batasan dan sikapnya.
Usah dilihat semalam yang berlalu.
Hari ini. Saat ini. Pengalaman semalam tak semestinya menjanjikan bahawa kau mampu menempuhi.
Adat hidup membenarkan. 
Pengalaman menjadi guru . Pengalaman itu sifu.
Aku selalu dibuai bahagia yang menipu.
Tersentak aku terngadah. Sakit.
Aku yang kini tak sama dengan aku yang dulu.
Itu hakikatnya walau aku nafi kali ke seribu.

Monday, July 9, 2012

Tak Pernah Terdetik

Satu ketika sedang aku dalan selesa, kesukaran dan keperitan datang menjelma. Tak pernah aku fikir dan rasa ia mungkin berlaku. Ketentuan menentukan segalanya. Walau diagnos doktor pada bulan 3 yang lalu menyatakan bahawa tulang femur aku sudah bercantum sepenuhnya, ia patah kembali tanpa diduga.11.6.2012. Aku jalani fisioterapi di sebuah hospital kerajaan di selangor. Rutin kali itu berbeza pada sebelumnya. Aku perlu guna sejumlah beban untuk diangkat . 30 kali jumlahnya. Selesai melakukannya kaki aku rasa lemah semacam. Sakit . Aku fikir ia hanya urat tersirat atau seumpanyan. 30 minit aku dibawah foyer menenangkan diri. Aku bangun dan berjalan. Tetap sakit. LC merah aku pecut laju menuju rumah tersayang di Negeri Sembilan. Malamnya aku rebah. Aku pana dengan kesakitan dan kelemahan yang menimpa.

Tiga hari berselang, langkahku kian sakit. Aku banyak terbaring dan duduk. Online. Itu ubat terbaik buat diriku. Aku merangkak , aku melompat aku terkinja-kinja. Kesemua pergerakan yang aku buat menyebabkan rasa sakit yang sama menerpa diri. Oh , aku keluh. Apa yang berlaku pada diriku. 17.06.2012. Malam itu aku tak mampu lagi berjalan sepenuhnya. Aku merangkak ke bilik tidur. Ibu memandangku sayu. Aku tidur dalam tangisan.  Sakit ini aku diamkan menjangkakan tiada apa yang bahaya. Aku sudah ada temujanji  'operation' pada 20.06.2012. Aku menangis dalam gelap. Sakit.

Sebelum subuh lagi aku sudah bangkit. Aku urut-urut kaki ku. Tak mampu aku ungkap rasa tak selesa yang dirasa. Lemah. Aku bangun dan melompat. Duduk seketika diatas kerusi jati yang terdapat ditepi dinding. Gelap. Lampu tidak berbuka.Aku tuju suis lampu. Lemah dan lambat pergerakan aku. 'Krak'. Pasti. Tulang aku patah dua kali ini . Patah bersama plate yang ditampal tepi di femur itu. Adik aku bangun mendapatkan aku. Aku menangis menahan sakit. Hanya cucuran air mata. Tiada suara. Aku diam bisu. Ibu dan ayah datang melihat. Cuba membantu tapi sakit itu aku. Aku solat subuh . aku sabar . Zikir dan selawat buat pembasah bibir. Itu nasihat ibuku. Ibu yang mampu membuat aku kuat dengan kata-kata itu.

Segera ayah ke balai polis berdekatan. Ambulans tiba . Aku keseorang didalam ambulan tanpa keluarga, Sakit itu buat aku lemah. Krak sekali lagi bila aku dalam perjalanan ke Hospital Tampin. Allah. Allah. Allah. Ujian besar buat diriku.


Bersambung...

Thursday, May 31, 2012

Cinta Sampai Tua

Tak mustahil kan?


Saturday, May 12, 2012

Makna bacaan dalam solat versi mudah@animaso



Tahu tentang video ni bila kawan present dalam kelas untuk pengajaran mikro. Bagus dan menarik. Apa kata ambil masa sekejap layan video ni.:)

Sunday, April 29, 2012

Padini Concept Sale

Ada jualan murah besar besaran di Padini Concept ..Siapa yang berdekatan dengan butik ni boleh la serbu dengan kadar segera. Diskaun sehingga 70% peratus. Masa diskaun ni ada lagi 3 hari. Mungkin sampai 30/4/12 je. Jom. Dapatkan barangan branded dan berkualiti dengan harga terendah.


Published with Blogger-droid v2.0.4

Friday, April 27, 2012

BEN ASHAARI DAN BLOG AKU


Bro Ben buka segmen 'taaruf' blog lain lagi. Segmen yang memang dah ditunggu selama ini dengan harapan akan dipromote oleh abg ben. Ditanya tentang persamaan antara blog aku dengan blog bro ben. ada ke? jawapannya ada! background aku 'plain' macam blog ben walau berbeza warna. aku pilih hitam. bro ben guna merah. tak leh nak sama nanti lawan 'idola blogger'..jadi, kawan-kawan yang singgah blog ni, join-join lah segmen ni. kalau ada peluang dipromote bro ben, boleh juga tambah kenalan blogger. Hidup blogger!

terima kasih kepada bro ben : http://www.benashaari.com/

Wednesday, April 25, 2012

Celaru


Do not believing anything you see and read ....




Betul kan apa yang matluthfi ni cakap.kita terlalu mudah sangat percaya dengan berita yang tak tentu lagi berlaku dan benar. facebook,twitter dan laman sosial kuat pengaruhnya dalam kehidupan hari ini. Jadi berwaspadalah dalam mempercayai sesuatu maklumat dan informasi.

Tuesday, April 24, 2012

Only In Malaysia


Is it true?yes!!

Thursday, April 19, 2012

Apa Rasa Ini

Aku tak tahu apa rasa ini. Sibuk , letih , malas atau malapetaka. Aku hanya fikir hidup perlu diteruskan. Masalah dan bebanan itu aku pejam malah aku biarkan sahaja. Hari dilalui dan aku sedari tugas kian bertambah. Cuma aku tenang sahaja kali ini. Mungkin kerna sudah lali. Ya. Aku sudah lali.


Published with Blogger-droid v2.0.4

Saturday, April 14, 2012

dua hati

Sebab kita tidak punya hati yg sama maka kita punya banyak khilaf. Kau, aku , dia , mereka pasti ada perkara yang kita perbalahkan. Tp kita kongsi rasa. Rasa kasih , rasa persaudaraan , rasa kekitaan.. itu buat kita kuat. Walau hebat mna kita kelahi tetap mahu duduk bersama. Benci. Benci. Perpisahan itu tetap kita nafi.


#kasihitutautanjiwa


Published with Blogger-droid v2.0.4

Thursday, April 12, 2012

Fisioterapi

Hari ini kali kedua jalani latihan fisioterapi. Siang tadi sihat saja tubuh ini. Kuat, gembira mcm biasa. Malam ini kepenatan melanda. Letih serta lemah tak bermaya. Rasanya tak buat senaman berat sangat pun. Sekadar 5 senaman asas kaki ditambah dengan pemberat. Kesannya tak rasa semasa buat senaman tapi sebaik pulang ke bilik.ah . Tak berdaya. Tidur.


#kurniakanakukekuatan


Published with Blogger-droid v2.0.4

Wednesday, April 11, 2012

Farah Lee

Jalan-jalan waktu pagi dalam dunia maya. Tak penah penat. Kaki tak lenguh, minyak kereta tak luak, tak berpanas mahupun hujan. Selesa dan mendamaikan. Baca entri. Ada yang menarik minat di hati dan ada yang biasa-biasa. Tapi terperanjat bila tahu bahawa isteri Ally Iskandar juga merupakan seorang blogger. Aku peminat Ally Iskandar satu masa dahulu. Maka tertarik untuk mengetahui tentang siapa isteri beliau.walau sudah berbulan berlalu tapi tak salah bagi rasanya mahi beritahu. yeke? Farah Lee itu nama yang diberi. Pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal di Korea Selatan.Aku baca blog beliau. Gaya penulisan yang islamik. Entri yang bermanfaat. Moga akan di update blog tersebut . Ada masa aku tersedar melalui penulisan itu.

ehsan google.com

Farah Lee

#mogabahagiakeanakcucudenganislam

Saturday, April 7, 2012

Unplaned

Mahu siapkan asignmnt lah minggu ni. Itu detik hati pada hari Jumaat. Weekend nk siapkan kerja yang bertimbun. Tup tup. Kuala Lumpur dijejak.

Ajakan mak su ke rumahnya pada petang  jumaat cepat saja aku iyakan. Mahu lari dari tekanan mungkin. Selesai packing baju, tablet dan laptop terus memecut laju ke Ampang. Rumah pak su dan mak su.

Malam pertama aku dinner di Restoran Tupai tupai.

Hari ini pergi ke KLCC. Lunch di Madam Kwan. Shopping di iSetan. Pak su belanja baju utkku. Gembira. Terima kasih pak su. Dan sekejap lagi mahu keluar mkn mlm pula. Tak tahu dimana. Hati tertanya tanya. Nak mkn apa ya.


#suprisedemisuprise


Published with Blogger-droid v2.0.4

Friday, April 6, 2012

Jangan Disalah Erti

Bju lusuh, singkat , dan kusam. Seluar koyak ditampal tampal. Selipar nipis haus tapaknya. Berjalan dia tunduk meratap tanah. Kereta. Bersimen di sana dan disini. Warna asal hilang sudah dimakan terik mentari diluntur hujan badai. Kerjanya apa? Ahli akademik yang disegani. Universiti.

Inilah bila disalah erti. Tidak paham. Zuhud katanya. Bersederhana. Ada hanya untuk diguna fikirnya. Tidak mahu ambil dunia.

Itu bukan zuhud. Saidina Umar punya unta merah.Ertinya apa? Beliau punya kenderaan mewah dizamannya. Kenapa tidak diambil ibrah darinya? Kau mungkin menjatuhkan syiar Islam dengan tindakanmu. Akan difikir Islam itu miskin dan ketinggalan keranamu.

Islam agama indah. Pakailah kadar kemampuanmu. Kenapa yang lusuh dipakai, yang buruk dipandu yang usang dihuni? Kau mampu tetapi sengaja memilih semua itu. Betulkan persepsimu atas kata zuhud.


Published with Blogger-droid v2.0.4

Wednesday, April 4, 2012

Penangan

Adeh. Rasa malas dan x berdaya nak berjalan hari ini.  Lenguh. Sakit. Otot sudah keras. Mungkin semalam sudah dipaksa bekerja keras. Angkat, turun, atas, bawah. Semua teknik dicuba dan dibuat berulang kali. Selama 10 saat dan sebanyak 30 kali ulangan. Penat. Nafas turun naik. Belakang pinggul mula terasa beban. Peha terasa bagai ditarik. Ini penangan fisio pertama . Kene kuat semangat dan rajin buat senaman yang diajar. Mahu cepat sembuh. Banyak perkara aku terlepas kini. Rugi.


#jiwakenekental


Published with Blogger-droid v2.0.4

Tuesday, April 3, 2012

50 Yang Pertama

Alhamdulillah rezki dari Allah kunjung tiba pada aku hamba hina. Peroleh baucer buku bernilai Rm200. Mungkin agak lewat dari pelajar ipt yang lain tapi aku rasa tiada kurangnya walaupun lambat sebab aku pun dapat. Dulu tika hangat orang bercerita tentang baucer buku aku tidak cemburu sangat kerana sudah peroleh elaun bulanan.

Tidak seperti peljar yang memperoleh ptptn yang perlu byr balik pinjaman tersebut, mungkin baucer ini sangat dinanti. Aku terima rezki ini dengan hati terbuka. Gembira. Hazaminfadlikrabbi. Rm50 yang pertama aku gunakan hari ini. Beli buku di pameran buku di dalam kampus sahaja. Tiga buku tersebut ialah : Mendekati Tuhan : Beduk Diketuk : Bawa Hatimu Kepada Tuhan.

Moga ilmu ilmu di dalam buku ini melapangkan dadaku untuk terima hidayah dari Tuhanku. Minta istiqamah dalam jalan yang lurus dan kuat menempuh mehnah kehidupan. Buat pengarang, moga Allah merahmati dan memasukkan kalian dalam orang yang tidak putus amal kebaikannya. Amin

#BacalahdengannamaTuhanmu

Published with Blogger-droid v2.0.4

Monday, April 2, 2012

Rasa ini.

Moga aku kuat kali ini. Biar empangan kukuh menahan air mata ini. Jangan bocor. Jangan pernah melimpah. Bergetar, terasa sempit dada kala ini. Kata kata x mungkin dapat mengungkap rasa ini. Aku pernah rasa sebegini. Aku tewas tika itu.

Aku ingat lagi. Hari rabu petang, aku pinjam kereta kawan. Rumah. Ibu. Aku cari ibu. Aku diam tapi ibu mengerti. Ibu mana tidak kenal anaknya. Ibu faham. Memujuk dengan tawa ceria dan minta bercerita. Aku diam merahsiakan.

Andai aku tewas kali ini. Aku mungkin akan hilang iman lagi. Akan aku minta mati. Mati. Mati. Tapi siapa aku untuk meminta mati. Amal ringan bagai kapas dosa berat bagai gunung.Pasti neraka tempat tinggal abadi. Aku pernah hilang iman. 2 kali.Tindakan dan kataku dikelar teman teman rapatku. Aku lemah. Aku hanyut dalam pertimbangan.

Aku hanya mampu kuatkan diri. Tapi pagi dan malam jadi musuh buat diri. Seribu satu rasa hadir dalam diri. Aku tenggelam. Aku lemas. Aku mati.


#beriakukekuatan


Published with Blogger-droid v2.0.4

Sunday, April 1, 2012

Dibiarkan

Jumaat dan sabtu. Dibiarkan. Kosong tanpa aktiviti dan pengisian. Bosan jawapanya . Bukan tidak mahu berbuat apa apa tapi tubuh jadi penghalang. Jalan jauh , bersesak , malu itu faktor aku hanya terperap di dalam bilik. Rutin sama dilalui. Bangun, online, update blog, makan , sms dan tidur. Berulang ulang dari hari ke hari.

Aku mula cemburu. Aku mahu ke padang bermain, berlari atau berjogging. Aku mahu aktiviti lasak. Aku mahu ke sana sini berjumpa rakan rakan sekolah. Aku mahu aktif. Tapi mana mungkin, mahu bergerak pantas pun aku terbatas.

Syukur, aku hari ini lebih baik dari 6 bulan yang lalu. Sudah mampu berjalan. Sudah mula boleh berdikari dalam semua perkara. Kadang kadang sahaja bergantung harap kepada orang lain. Alhamdulillah

#akumahucepatsihat


Published with Blogger-droid v2.0.4

Friday, March 30, 2012

Segar Dalam Ingatan

Masih terkenang lagi memori silam zaman kanak kanak dan awal remaja. Oh , susahnya kehidupan masa itu tapi tak pernah rasa susah dan mengeluh. Duit. Susahnya nak dapat. Belanja sekolah rendah hanya 20 atau 30 sen sahaja. Tiap tiap hari selama 6 tahun. Cukup buat beli air atau kuih.


Balik rumah atuk di Pahang sentiasa dinanti. Nanti atuk dan nenek akan beri duit poket. Jumlahnya sekitar rm30-rm50. Nak dapat lebih kena rajin tolong atuk di warung makan. Sebelum pulang ke N.Sembilan mesti mahu pergi ke pasar tani. Beli sticker Dragon Ball. Bukan untuk diri sendiri tapi untuk dijual disekolah nanti. Duit cari sendiri. Simpan simpan utk bli ps1.


Ingat lagi tolong ibu berniaga sabun basuh. Naik basikal merentas rumah rakyat, merentas kampung untuk jual sabun. Sabun. Sabun. 3 kotak rm 10. Habis jual ibu beri upah ais krim sebatang. Seronoknya dapat upah hilangkan penat.


Hari ini, semua itu tinggal kenangan. Zaman kecil sudah ditinggalkan. Nenek sudah tiada dan warung sudah tutup. Sekolah pun sudah tamat. Berlinang air mata mengingat kisah ini. Aku orang susah. Hasil kehidupan hari ini hasil usaha yang lalu dengan izin Allah s.w.t.  Akan aku ingat zaman itu agar aku sentiasa bersyukur punya kehidupan hari ini.


#usahcemburudengankekayaan


Published with Blogger-droid v2.0.4

Thursday, March 29, 2012

Minta Difahami

Tolong fahami saya. Fahami kami. Kami bukan robot atau mesin yang hidupnya atas kod arahan atau ikut skrip java. Kami punya akal. Kami punya emosi. Kami boleh menangis, ketawa, muram , menangis, dan marah. Beban yang berlebihan menggangu keseimbangan biologi emosi kami. Kami tertekan. Sedih dan bisa menangis. Tolong fahami kami. Bukan kami tak mampu tapi ia di luar batas kemampuan kami.


#akuemosi


Published with Blogger-droid v2.0.4

Wednesday, March 28, 2012

Dia Cantik Di Mata Ku

Cantiknya dia bukan hanya pada paras muka, 
Bukan pada lembut suaranya , 
Bukan pada runcing jarinya. 
Tapi 
Cantiknya dia kerana akhlaknya,
Cantiknya dia pada pakaiannya, 
Cantiknya dia pada Islamnya,
Cantiknya dia pada Imannya.
Itu buat lelaki tertarik padanya.


#Islamituindah

Tuesday, March 27, 2012

Tenang Dalam Sempit

Oh, rasanya ada banyak asignment yang nk kena hantar dalam waktu terdekat ini. Tapi entah kenapa hati ini tenang saje.Tenang sangat rasanya. Ada keajaiban yang akan berlaku ke? Haha. Bermimpi dalam dunia nyata. Mustahil tapi mungkin. Dalam hati ada terdetik , mungkin dapat tangguh 'due date'. Tangguh 3-4 hari pun jadilah. Amin.


#keajaibanitutidakmustahil


Published with Blogger-droid v2.0.4

Monday, March 26, 2012

mohon kekuatan

Ada masa kita kuat ,kita gagah , kita cekal , kita nekad. Tapi ada ketika kita lemah , kita lagha dan kita berada nun jauh dalam lembah kehinaan. Ini salah. Itu salah. Terkadang jiwa tahu salah itu menempah dosa tiket buat ke neraka namun diredah jua untuk nikmat dan kepuasan yang diimpi. Ah, persetan. Kenapa aku buat lagi. Aku sudah bertaubat dulu tapi kenapa hari ini diulang lagi. Hari ini titik hitam yang baru terpahat dihati ini. Kesal. Tertekan. Jiwa , akal tak cukup kuat untuk  menahan jasad melalukan kelalaian. Aku menangis lagi . Ini yang terakhir. Ini yang terakhir. Insyaallah


#mogaakudalamjalanyanglurus


Published with Blogger-droid v2.0.4

Sunday, March 25, 2012

Getir

Saat getir pasti dilalui dalam hidup ini. Getir dari aspek fizikal,jiwa dan mental. Mungkin sampai tahap dada rasa sesak dan berat. Tapi ingat , tiada masalah yang tak blh diselesaikan. Tiada tempat mengadu yang lebih baik selain Allah. Perlu untuk diluahkan pada kawan kawan tapi satu kemestian untuk diluahkan dan diadukan kepada Allah. Solat sunat, baca al quran , selawat dan zikir penawar yang mujarab. Insyaallah masalah yang ada akan rasa ringan sdikit. Dan mungkin akan mudah jumpa jalan penyelesaian.


#masalahitumematangkan


Published with Blogger-droid v2.0.4

Saturday, March 24, 2012

Meriam Emosi

Meriam diledakkan dari Kota A' Famosa Melaka oleh aku pada 20/3/2012

Kalaulah boleh aku lepaskan emosi yang aku rasa ini terbang dan jauh-jauh dari dalam diri ini dengan meriam zaman portugis ni mesti best. Mesti ringan jiwa ini. Bommmm! Meletup. Lega.

Siapa salah

'Aku tak nak bergaduh dengan kau' . Oh, macam salah itu hanya pada aku. Aku seorang yang buat kau sakit dan rasa itu dan ini. Akulah si penyangak dunia yang merosakkan segalanya. Apa yang aku buat semuanya silap. Ada saja yang tidak kena padanya. Dari dalam diri ini sebenarnya aku sudah cuba yang terbaik. Aku cuma mahu berlawak atau menghidupkan suasana tapi mungkin padanya ia tak kena masa. Lantas 'aku x nk bergaduh dengan kau' . Iye, akan aku igt sampai bila bila kerana hati aku betul betul terasa dengannya. Ak kuatkan diri berkomunikasi dengannya seolah olah tiada apa yang berlaku. Tp jauh dari sudut hati ini aku mula rasa sensitif dengan perilaku dan kata kata darinya. Oh jiwa yg sedang singgah di sarang tercinta, kenapalah kau begitu sensitif saat ini.


#darihatiyangemosi


Published with Blogger-droid v2.0.4

Friday, March 23, 2012

Sarangku

Akhirnya aku pulang jua ke sarang selepas beberapa hari terbang mengembara ke negeri orang. Rumahku syurgaku. Ambil masa di sarang ini untuk berehat. Hirup udara segar sambil berkasih mesra dengan ibu dan ayah. Hanya aku seorang sahaja dirumah. Tiada abang tiada adik. Semua sedang berjihad di medan ilmu. Aku juga akan teruskan perjuangan di sana cuma ambil masa singgah di sarang tercinta. Sunyi rumah tanpa kelibat abang dan adik adik namun apakan daya. Aku hanya diam membisu pada kebanyakan masa. Laptop , tablet dan tv saja buat peneman sejati. Tawa ibu , cerita ayah itu yang kutagih untuk memecahkan kesunyian ini. Oh, indah sungguh  sarang ini. Aku sayang sarang ini. Hari ini , esok dan selamanya.


Published with Blogger-droid v2.0.4

Thursday, March 22, 2012

Hati Berbicara

Maaf , aku bukan insan sempurna. Salah dan silap itu pakaian aku. Teguran, nasihat dan tunjuk ajar itu guru terbaik buatku. Berikan aku waktu. Berikan aku masa. Mungkin kau akan penat , letih dan putus dari terus mengharap. Aku sedih kerana buat kau begitu. Namun apa dayaku. Aku sering kalah dalam istiqamah. Aku hanya insan lemah.


Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mendongak megah,
Lelaki kami Asadullah,Saifullah.
Tokoh ramai tak terkira.

Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya menunduk lemah,
Tokoh kami sedikit sekali,
Ramainya boneka Yahudi.

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya tenang di hati,
Lelaki kami menjaga,melindungi,

Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mahu cabut lari,
Lelaki khianat,perogol bersiri.

Dulu,
Bila seorang wanita teraniaya,
Sepasukan kuda putih membela,
Al-Mu'tasim kebanggaan wanita,

Kini,
Ribuan wanita suci dipenjara,
Fatimah diperkosa minta dibela,
Lelaki tunduk tak bertenaga.

Dulu,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki memagari sehabis daya,
Tiada siapa berani menggoda,

Kini,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki tak kisah auratnya terbuka,
Wanitanya dibiar bebas,binasa.

Dulu,
Lelaki menggadai harta dan nyawa,
Untuk mengangkat kemuliaan agama,

Kini,
Lelaki menggadai ketinggian agama,
Demi nafsu, dunia seisinya,


Dulu,
Lelaki bermatian mencipta sejarah,
Kental berjihad tekun berdakwah,

Kini,
Lelaki hanya menyanjungi sejarah,
Diri bermalasan,tenaga tak dikerah.

Dulu,
Lelaki memperjuangkan deen dan ummah,
Al-Farouq, Zunurain mati terbunuh,

Kini,
Lelaki memperjuangkan diri dan kroninya,
Hingga sanggup membunuh.

Dulu,
Lelaki bersatu menghadapi musuh,
Angkatannya kuat dan teguh,

Kini,
Lelakinya berpuak dan berpecah,
Sesama sendiri sering bertelingkah.
Kembalilah lelakiku,
Pada kelakianmu,
Kami rindukan lelaki dulu,
Acuan madrasah Rasul~

(dipetik dari Syabab Musafir Kasih,Fatimah Syarha Mohd. Noordin)

Sunday, March 11, 2012

Rapuh

Tak kuat hati ini untuk terima ujian demi ujian. Aku berkehendak orang baik terhadap diri ini tetapi mungkin sebab aku jarang berbuat baik pada orang maka aku tak layak untuk memperolehnya.Sampai satu tika aku peroleh kata-kata ini dari dalam diri :

''If u want to hurt me please take a gun and shoot me. Dont kill me by ur word. There is no physcal wound.''

Ini diri aku. Terima aku seadanya. Andai tidak suka sila tegur atau komen ; usah dipendam dalam hati dan dikelar aku dengan kata-kata . Aku boleh terima 'pembetulan' dan 'teguran' . Maaf atas segala khilaf.

Wednesday, March 7, 2012

Tersentak

Ye. Kali ini aku tersentak dari lamunan dan realiti kehidupan. Benar. Kematian itu pasti. Firman Allah yang bermaksud ''setiap yang bernyawa akan merasai maut ( kematian )'' Aku sebak , teringat dan sayu. Ligat akal ini memikirkan bagaimana pengakhiran hidup aku. Soal bagaimana cara nyawa ini ditarik balik bukan prioriti utama tapi apakah amal dan timbangan kebaikan aku sudah cukup untuk menerima kebahagiaan di alam sana. Apa yang aku fikirkan saat ini ' apakah yang roh akan rasa saat nyawa dan jasad dipisahkan', ' dapatkah roh melihat suasana kesedihan yang sedang melanda sebelum dikebumikan' ,'bagaimanakah perasaan roh itu bila terputus dari dunia '.

Aku mohon diberikan hidayah , taufik , kekuatan dan kesedaran untuk istiqamah dalam melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan.  Moga taubatku diterima Allah .

Tuesday, March 6, 2012

Bicara Hati Seorang Insani

Ku lihat betapa gemilangnya pemuda Islam ratusan tahun yang dahulu. Sibuk dan penat mengembara kerana dahagakan ilmu pengetahuan. Seruan Allah dalam surah Al -A'laq ayat 1-5 disambut dengan penuh kesungguhan. Dari satu bandar ke bandar lain , setiap lorong ilmu diterokai dan dijelajahi.Guru demi guru silih berganti. Ulama-ulama besar dijadikan rujukan dan teman berbincang. Terkadang cemburu bila memikirkan betapa hebatnya pemuda Islam zaman kegemilangan Islam cinta kepada ilmu pengetahuan. Imam Syafie diberi kepercayaan memberi fatwa berkaitan hukum fiqh ketika beliau umurnya 15 tahun. Imam Nawawi dalam usia mudanya telah mampu mensyarahkan hadis dan membukukannya. 

Aku duduk dan hanya mampu termenung.Tika dan saat ini tiada apa yang boleh dibanggakan. Tiada langsung jasa dan sumbangan yang dilakukan untuk pembangunan umat Islam dunia. Diri sendiri jua kadang kala tidak terurus. Leka dan lalai dalam dunia hiburan dan kemewahan dunia. Ada kesedaran tetapi tiada tindakan. Jauhnya aku dari kehidupan pemuda-pemuda Islam yang berjaya. Waktu senggang yang diisi dengan majlis-majlis ilmu , perdebatan , usrah , dakwah atau melakukan kebajikan terhadap umat Islam bukan rutin buat diriku. Lebih selesa meluangkan masa bersama rakan-rakan dan berhibur sama.

Sampai bila aku harus begini. Aku sedar dan aku tahu. Tapi mengapa aku tak kuat untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Makin aku ingin kepada kebaikan makin aku terjatuh dalam lembah kelalaian. Akhirnya aku berhenti berharap dan berusaha. Dibiarkan sahaja masa berlalu tunggu kekuatan itu datang kembali. Aku insan lemah yang hanya sedar itu benar dan itu salah ,  itu bagus dan itu tidak bagus. Aku mengharapkan 'kekuatan' dari Illahi agar mampu mendorong jasad ini kejalan Illahi.

Friday, March 2, 2012

3 Tips Menjaga Hubungan Percintaan

Tercari-cari petua atau tips untuk menjaga hubungan ? Hari ini saya akan berkongsi bersama pembaca 3 tips percintaan yang pasti dapat menghangatkan hubungan percintaan yang telah terjalin selama ini.

Tips ini sesuai dipraktikkan oleh semua muslimin dan muslimat kerana saya akan berkongsi berkaitan tips percintaan bersama Allah. Tuhan Rabb yang wajib disembah dan ditauhidkan. Tidak ada satu pun yang sama atau setaranya. Tuhan yang menciptakan manusia dan mematikan manusia. Tuhan yang memberikan nikmat kehidupan , nikmat percintaan , nikmat kesihatan , nikmat kebijaksanaan , nikmat emosi dan sejuta nikmat yang tak terdaya oleh lidah untuk melafazkannya.

Sebelum saya memberikan tips perlu kita tahu kenapa kita  perlu menyintai Allah?Sebab utama ialah Allah itu Tuhan yang menciptakan manusia. Allah yang memberikan kita perasaan cinta. Andai kita tidak menyintai pemilik rasa cinta , bagaimana mungkin perasaan cinta akan terus kekal dalam diri kita. Mungkin hari ini , kita mampu menyintai manusia namun selepas 5 tahun apakah kita mampu untuk menyintai manusia sekiranya perasaan cinta itu mula hilang atau hambar dalam diri kita? Tentu tidak ada rasa cinta lagi sekiranya kita tidak melestarikan cinta kita kepada pemilik cinta yang hakiki.

Tips yang pertama : Kenali Allah s.w.t
Bagaimana mengenali Allah? Cara yang termudah ialah melalui al Asma dan al Husna Allah ( nama-nama allah ). Terdapat 99 nama Allah yang indah. Tiap-tiap satunya memperlihatkan kehebatan Allah. Tiada kekurangan atau kecacatan pada Allah. Andai terlintas difikiran bahawa Allah itu seperti ini atau itu , tangkislah ia dengan dalil ini .

"Tiada tuhan yang seumpama denganNya. Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.''
Surah al syura 42:11

Boleh juga ditangkis dengan logik akal. Apakah sama pencipta dengan yang diciptakan? Tentu tidak. Fizikal pencipta pen / pensil bukan seperti pen atau pensil bahkan ia adalah manusia yang mempunyai nyawa dan roh. Dan semestinya Allah itu bukan seperti manusia dan bukan seperti alam ini kerana pencipta berbeza dari apa yang diciptakan.

Kita juga boleh mengenali Allah melalui petunjuk Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun baginda telah tiada disisi kita namun baginda telah mewariskan para ulama untuk menerangkan Al Quran dan As Sunnah.Apabila kita telah mengenali ulama maka secara tidak langsung kita akan mengenali Allah dengan lebih dalam lagi. 

Tips yang kedua : Sentiasa Positif Terhadap Ketentuan Allah
Untuk menghangatkan hubungan percintaan , persepsi tentang yang dicintai amat penting. Sepatutnya tiada keraguaan atau was -was dalam menyintai Allah. Ini kerana Allah itu bersifat dengan sifat -sifat kemulian. Allah itu menurut sangkaan kita. Oleh itu sentiasalah bersangka baik dan pisitif terhadap Allah.
Firman Allah :
dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
 Al Baqarah 2 : 186

Tips yang ketiga : Cinta Atas Kecintaan Allah
Bila hati sudah tertaut dengan yang dicintai , maka apa yang dicintai suka mesti menjadi kesukaan kita. Dalam menyintai Allah , perkara yang sama boleh dilakukan. Cintailah Rasulullah s.a.w , sunnah-sunnahnya , laksanakan kebaikan , amal kebajikan dan sebarkan agama Allah diseluruh dunia kerana perkara-perkara ini merupakan apa yang disukai Allah. Berulang kali Allah menegaskan manusia untuk melakukan amal kebaikan di dalam Al Quran. Oleh itu , berusahalah untuk melakukan perkara-perkara yang disukai dan diperintahkan oleh Allah. Insyaallah dengan kesungguhan dan keikhlasan dalam melaksanakan perkara-perkara tersebut cinta Allah akan berjaya dicapai.

Moga perkongsian ini dapat menghangatkan hubungan percintaan kita dengan Pemilik Cinta yang sebenar.

Thursday, February 9, 2012

To my beloved girl friends : Listen to this..

Isu tudung , hijab dan fesyen memang tak dapat nak dielak lagi pada masa ini.Aku amat tertarik dengan pendapat dan nasihat yang diberikan oleh pemilik vlog dibawah. Moga semua dapat mengambil iktibar dan panduan baik lelaki mahupun perempuan.






Ayat yang benar dari vlog di atas :
# hijab atau tudung bukan hanya soal menutup rambut / kepala dengan kain tetapi ia soal bagaimana kita ketawa , kita berjalan , kita bertindak tetapi ia merupakan apa yang setiap perempuan muslim perlu laksanakan mengikut Islam.

Wednesday, February 1, 2012

Masih Ada Peluangkah Kita Untuk Bertemu ‘’Dia’’?

Tak ramai antara kita yang berpeluang untuk berjumpa dengan nabi. Peluang untuk kita bertemu dengan nabi secara zahir adalah mustahil kerana nabi telah meninggalkan kita 1400 tahun yang lalu. Apa yang ada pada hari ini ialah agama Islam yang merupakan agama Allah yang disebarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Kita layari kisah-kisah di dalam Al Quran dan hadis –hadis nabi dan sahabat untuk mengetahui tentang  nabi terakhir kecintaan kita ini.

Pernahkah kita berhajat untuk berjumpa nabi? Punya perasaan yang kuat untuk berjumpa nabi sehingga  dipohonkan kepada Allah pada setiap masa terutama melalui solat fardu atau solat sunat. Persoalannya pernahkah kita berhajat untuk berjumpa dengan nabi? Jika dalam arus percintaan , berjumpa dengan kekasih yang dicintai adalah satu kemestian . Tidak dapat setiap hari pun tidak mengapa asalkan dapat berjumpa seminggu sekali. Jika tidak dapat juga , sebulan sekali pun diterima jua. Jika terhalang , melihat bumbung rumah atau barang-barang milik yang dikasihi  sudah cukup untuk melepaskan rindu yang bersemi.

Kuatnya ikatan orang yang bercinta. Mereka sentiasa mengharap pertemuan dengan yang dikasihi. Tapi berapa ramai antara kita yang ingin berjumpa dengan Nabi yang merupakan insan yang wajib dicintai? Orang –orang yang terpilih untuk berjumpa dengan nabi dalam mimpi merupakan insan yang beruntung. Dapat melihat nabi secara dekat dan jelas. Alangkah beruntungnya mereka. Baru –baru ini , ulama tersohor negara Tuan Guru Dato Dr Harun Din menceritakan kisahnya bertemu dengan nabi dalam mimpinya. Apa perasaan kita semasa dan selepas mendengar pengalaman berharga oleh beliau? Wujudkan perasaan cemburu atau ruginya kita kerana tidak berpeluang untuk berjumpa dengan Nabi? Perasaan ini perlu ada jika kita benar-benar menyintai Nabi pesuruh Allah ini. Ia bukan hasad yang buta. Ia bukan cemburu yang mengada-ngada!

Perlu kita muhasabah diri ini agar mampu untuk bertemu dengan nabi. Andai bukan saat kita hidup di atas muka bumi ini , kita perlu berusaha untuk bertemu dengan nabi saat dibangkitkan dan dihisab di Padang Mahsyar nanti. Langkah menongkah arus perlu dilaksanakan. Tinggalkan kelalaian kita dalam dunia maksiat. Mulakan dengan niat. Berhijrah ke arah kebaikan. Selawat ke atas nabi junjungan mulia perlu dijadikan basahan bibir dan hati. Jika tidak terdorong oleh keikhlasan , lakukanlah kerana kelebihan yang ada. Tidak mengapa untuk permulaan namun setelah itu berusahalah untuk ikhlaskan diri.  Pegang hadis ini kuat-kuat untuk dijadikan motivasi.

Sabda nabi s.a.w. ‘Barang siapa yang berselawat ke atasku sekali , nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak 10 kali ,hapuskan daripadanya sepuluh kesalahan dan diangkat padanya sepuluh darjat.”
( Hadis Riwayat Ahmad  , An Nasai , dan Al Hakim )

Nah , itu ganjaran yang pasti. Tidak mahukah kita mendapat rahmat yang 10 kali ganda daripada apa yang kita lafazkan. Jangan jadi buta lebih lebih lagi buta mata hati kerana ia membuatkan kita sesat dan duduk dalam kegelapan. Tidak nampak apa itu kebaikan , kebajikan , kelebihan dan keutamaan. Minta dan berdoalah kepada Allah agar kita dijauhkan daripada hal yang sedemikian. Sentiasalah mengharapkan syafaat Nabi dalam doa yang dipanjatkan. Berdoalah untuk terus istiqamah dalam melakukan amal soleh .

Mulakan saat ini dengan niat dan azam. Laksanakan kebaikan sedaya mungkin. Korbankan keselesaan dunia demi keselesaan yang hakiki. Solat di awal waktu , berjemaah di masjid, membaca Al Quran ,berzikir , berselawat, dan bersedekah mestilah dijadikan kemestian. Berjinak jinaklah dengan sunnah Nabi dan anjurannya. Laksanakan hak Allah dan hak manusia. Tinggalkan larangan Allah sebaik yang boleh. Bertaubat saat tersilap langkah. Pasti ! Peluang untuk bertemu Nabi Muhammad s.a.w ada untuk kita.



# Ya Allah , aku mohon terimalah aku dalam golongan orang –orang yang lurus. Berikanlah aku dan keluarga aku hidayah agar mampu hidup dalam syariatmu. Jauhkan kami dari kelalaian dan kemaksiatan. Pertemukanlah kami kepada Nabi Muhammad insan mulia pemberi syafaat hamba kesayanganmu. Amin.



Saturday, January 28, 2012

Dia Bukan Untukku

' Dia bukan untukku. Mungkin Allah temukan dengan orang yang salah supaya aku jumpa orang yang lebih baik. Yang lebih menyayangi aku ' Kalimah ini dilafazkan dan selalu dizahirkan pabila insan bernama manusia putus dalam hubungan percintaan. Baik lelaki mahupun perempuan, tatkala kalimah ini diucapkan ia sebenarnya sedang pasrah terhadap ujian yang melanda diri. Ia ayat ubat dan penawar hati. Biar hati yang luka berdarah bagai ditoreh itu sembuh sedia kala.


Benarkah kenyataan itu? Memang untuk dipertemukan dengan insan yang lebih baik? Didokong kejahilan atas nama agama. Sedarkah sebenarnya kita sedang mempermainkan syariaatnya. Fikir kembali. Ayuh kita berfikir. Sewaktu bersama yang disayangi , tubuhmu dipegang , dipelok , dikucup , dicium dan wujud istilah ' kau untukku, tubuh ini milikmu''. Enak dan lazat. Lantas saat berpisah dilafaz ayat keramat. Mungkin Allah sengaja jumpakan aku dengan insan yang salah supaya berjumpa dengan insan yang lebih baik???Adakah Allah meredhai perlakuan sedemikian?


Mungkinkah insan soleh dan solehah jatuh hati pada kita? Janji Allah ' lelaki yang baik untuk perempuan yang baik : perempuan yang baik untuk lelaki yang baik ' . Tak kan mungkin janji Allah dimungkiri. Aku percaya dan pasti. Cuma ramai antara kita yang menilai dari kaca mata manusia. Dia baik. Tidak dinilai kebaikan dengan ketaatan kepada Allah dan kepada rasul. Baiknya dia kerana ramah mesranya , sopan santunnya dan mungkin kerana pemurah orangnya. 


Jadi bolehkah ketemu insan yang lebih baik saat diri sudah tidak seputih salji? Tepuk iman bukan nafsumu. Boleh cuma jalannya bukan seperti jalan yang pertama. Bertaubat. Menyesal. Insaf. Berubah kepada kebaikan. Istiqamah dengan amalan fardu dan sunat.  Insyaallah , jodoh yang baik akan kita ketemu. Bukan lagi dalam jalan gelap dan penuh noda dosa. Dibimbing dan ditarbiyah. Nikah. Pasti bahagia andai mengikut syariaatnya.


Published with Blogger-droid v2.0.4

Friday, January 27, 2012

Privasi Yang Mula Hilang

Entah kenapa aku rasa semacam melihat gambar gambar orang berpelokan laki dan perempuan di muka buku. Sama ada yg kapel,bertunang atau yang sudah berkahwin. Bagi aku tak perlu mempamerkan gambar yang sedemikian untuk tatapan khalayak. Lebih baik sekadar untuk diri sendiri


Mungkin mahu memperlihatkan kemesraan dalam hubungan tapi apakah ia cara yang terbaik? Perlukah memberitahu dunia , ini kapel aku dan aku boleh pelok pelok dia?? Perlukah membuatkan mata mata lelaki memandang susuk tubuh dan kemesraan isteri kamu??


Tangannya yang mulus, kemanjaanya yang bagai bayi dan posing yang sebenarnya khas buat suami jadi tatapan dan bualan umum.  Dijaja gambar tersebut . Peroleh ratusan 'like' dan komen. Puas dan bangga. Tak salah untuk bergambar tapi perlukah gambar yang berpelokan bersama ditayang umum? Mana letaknya privasi suami isteri? Mana letaknya nilai seorang isteri yang sebenarnya khas untuk lelaki yang dikahwani?? Sekadar perhubungan di kamar sahajakah?? Tidak. Sudah tentu tidak. Banyak hak dan perkara lain yang perlu dijaga dan dirahsiakan.


Memang aku tiada hak untuk bising bising pada mereka. Biar blog ini jadi tempat diluahkan rasa tidak enak itu. Aku pohon dikurniakan jodoh yang sependapat dan ' mahal' nilainya. Biar ia hanya buatku. Tak perlu dilihat dan ditayang umum. Bagi aku lebih baik jika tiada lelaki lain yang memandangnya melainkan aku. Hanya aku. Biar nampak kolot dan ketinggalan namun itu ' emas' buat diriku. Mahal dan bersinar.


Aku pohon bila tiba masanya nanti ,aku jauh dari apa yang aku tidak suka ini. Mohon dijauhkan. Aku pohon diingatkan . Aku tidak mahu menjadi seperti mereka yang ditempelak dalam surah as saff ayat ke 3. Ya Allah lindungi aku. Lindungi kami.


Published with Blogger-droid v2.0.4

Tuesday, January 24, 2012

Kuatkah Kita?

Gagah lelaki itu. Dia mampu mengangkat objek yang berpuluh-puluh kilogram dengan mudah. Tangannya yang berurat dan ber’otot’  itu bukti dia merupakan lelaki yang kuat. Lelaki yang hebat. Masyarakat dan mungkin diri kita sendiri sering membuat konklusi sedemikian. Konklusi berdasarkan pemerhatian. Ia benar . Tak salah. Cuma ada yang tertinggal iaitu konklusi kita tanpa atas kefahaman agama.

Kita puji dia , mereka dan diri kita sendiri. Melihat hanya pada mata kaca seorang manusia. Fizikal dan luaran adalah segalanya. Lantas seorang demi seorang manusia diagungkan kehebatannya. Diiktiraf kekuatan yang dimiliki. Wujud pelbagai nama dan gelaran buat mereka. ‘Iron Man ‘ ‘Superman’ dan mungkin juga ‘Ip Man’. Dan tak lupa lelaki yang punya kekasih akan mengaku dirinya sebagai ‘yourman’ dan semestinya kekuatan yang ada untuk manfaat yang dikasihi.

Dimomokkan dengan kekuatan lahiriah membuatkan kebanyakan daripada kita lupa asal usul diri dan tujuan penciptaan. Apa yang dikejar hanya gelaran dan nama. Imbuhan yang berupa harta benda dan populariti  menyebabkan kita semakin lupa kepada Pemilik  Dunia. Kita kaya di dunia. Kaya harta . Kaya nafsu. Kita lupa soal iman dan soal agama. Ia bukan keutamaan buat diri yang gagah dan kuat.

Suatu ketika tanpa diduga , musibah menimpa. Si fulan dan si fulan terlibat dalam bencana dan malapetaka. Patah kaki  dan patah tangan. Hilang kaki hilang tangan . Objek yang berat tidak lagi mampu diangkat. Tubuh sendiri juga tak mampu dikawal sebaiknya. Berat sahaja. Sakit dirasa di sana sini. Hanya si sakit merasa keperitan dan kesukaran itu.  ‘Iron Man’ lagikah? Hilang senyuman manis. Hilang jeritan ‘juara’ ‘si kuat’ ‘si badang’ yang dilaung-laung selama ini.

Keluhan demi keluhan keluar dari mulut. ‘Kalaulah ..kalaulah..’’ Si sakit mula mempersoalkan takdir tanpa memikirkan siapa dirinya. Apa hak manusia untuk mempersoalkan takdir. Lantas tatkala sakit yang menimpa dirasakan terlalu berat untuk ditanggung , kalimah ini diucapkan ‘ kalaulah aku mati dalam bencana itu , itukan lebih baik.’ Putus asa. Hilang imannya saat itu.

Pengharapan dan pergantungan diri kepada Yang Maha Esa putus saat itu. Sakit yang ditanggung dirasakan terlalu berat untuk dipikul . “Iron Man ‘’ suatu ketika dahulu mahu ‘mati’ sahaja saat ini. Tidak mengapa hilang gelaran ‘Iron Man’ itu asalkan kesakitan yang dirasakan hilang lesap .

Pemikiran singkat , iman cetek. Langsung tidak difikirkan nasib kehidupan dunia selepas kehidupan di dunia. Dihisab dan ditimbang. Amal baikkah yang berat atau sebaliknya? Sudah banyakkah amal kebajikan dan amal soleh yang dilakukan untuk tergolong dalam ahli syurga? Sudah difikirkan semua ini saat melafazkan ‘ kalaulah aku mati dalam bencana itu , itukan lebih baik.’? Tidak. Tidak. Semua ini tidak difikirkan. Ketika itu kesakitan yang ditanggung hanya satu-satu perkara yang difikirkan.

Kuat lagikah kita apabila bencana dan kesakitan menimpa? Hari ini mulutmu petah berkata. Tangan dan kakimu gagah melangkah. Tubuhmu boleh kau lakukan mengikut nafsumu. Tiada halangan . Itu nikmat! Itu keselesaan. Jelas, kita hanya akan sedari pabila ia hilang pada diri . Saat ia ditarik dari diri kita. Keluhan demi keluhan akan dilafazkan. Penyesalan yang terlambat. Pasti tidak berguna lagi. Ikut hukum dan adat alam , tidak mungkin tangan yang putus akan tumbuh kembali , mustahil lumpuh seluruh badan akan sembuh dalam masa yang singkat. Tapi ke jalan manakah kekuatan yang kita ada pada hari ini kita manfaatkan?

Kaki ini kerap melangkah ke tempat-tempat yang melalaikan. Pawagam , tempat karaoke, pub-pub malam , pusat membeli belah dan pasar-pasar tumpuan manusia. Tempat-tempat yang tidak ada pembinaan iman dan takwa kita tuju dan kita hadiri tiap-tiap ketika dan masa. Tenaga yang ada digunakan untuk memuaskan nafsu . Ke hulu dan ke hilir  demi memuaskan nafsu yang  tak pernah merasa cukup . Akhirnya , malamnya sunyi tanpa Ilahi. Jauh. Cukup jauh dari Rabb yang dicintai. Kuatkah kita ?  Iye. Kita kuat. Kuat dalam melakukan maksiat dan dosa kepada Allah. Kita lemah dalam mengabdikan diri kepadaNYA. Lemah selemah lemahnya!

 Kekuatan itu milik Tuhan. Milik Allah s.w.t sahaja. Kita cuma dipinjamkan sedikit sahaja kekuatan dengan kebenaranya. Tapi kita bongkak dan alpa dengan apa yang dipinjamkan. Merasakan kekuatan itu milik kita. Tak perlu dipulangkan dan disoal tentangnya. Buta bahawa ia nikmat Tuhan yang dipinjamkan. Lalai kerana kelazatan dunia yang diperolehi. Lemah , lemah , lemah. Kita insan lemah.

Tak pernah terlambat untuk kita bina kekuatan iman dan takwa. Kita masih punya masa. Bertaubatlah. Muhasabahlah. Ayuh , kita manfaatkan kekuatan yang ada pada diri kita untuk agama kita. Untuk Islam. Untuk membina iman dan takwa. Untuk melakukan kebaikan dan kebajikan kepada orang lain. Pasti , rahmat Allah untuk kita. Insya Allah.

# Firman Allah : 
 Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir".
( Al Baqarah 2 : 286)


Tuesday, January 17, 2012

SMS Cinta Pagi


Apa lagi yang bisa membahagiakan insan selain mendapat sesuatu daripada yang dicintainya. Sang pencinta pasti terdorong untuk berkhidmat dan berbakti kepada yang dicintai tanpa mengharap balasan dan ganjaran. Ia satu kepuasan. Rasa itu hanya dapat dinikmati oleh mereka yang bercinta. Tanpa cinta ia tiada nilai.

Namun persoalannya , berapa ramai antara kita yang merasa nikmat ' cinta ' bersama si pemilik cinta. Sedarkah kita sebenarnya selalu mendapat panggilan dan sms cinta dari Allah s.w.t . Seawal jam 6 pagi , tatkala kesunyian subuh dan kita masih lena diulit mimpi , kita sudah dihubungi oleh Allah . Panggilan pertama melalui azan Subuh. Terdorongkah kita menjawabnya? Panggilan cinta ini tidak pernah putus. Sang Pencinta Agung sering memanggil yang dicintai tanpa putus. Namun , kebanyakan kita mengabaikan panggilan ini. Ia bukan panggilan cinta buat kita. ''Ya, bukan aku yang dipanggil'' . Panggilan itu untuk insan lain.

Jika  'beloved bf/gf' memanggil pada jam itu , 6 pagi ; terkocoh-kocoh kita menjawab . Suara tidur yang manja dan penuh ghairah diperdengarkan kepada yang tersayang. Tidak ada bantahan mengapa diganggu tidur yang lena  dan mimpi yang indah. Walau ia sekadar 'hmmm,, atau ye ' sudah cukup rasanya untuk membuktikan rasa kecintaan kepada yang dicintai.

Pelik bukan.Itu realiti masa kini. Mungkin pada masa hadapan pun ia tetap akan kekal begitu jika tiada perubahan dan kesedaran dalam diri. Menyahut cinta manusia  itu lebih utama daripada menjawab panggilan cinta Allah yang pasti . Iya , tiada salahnya menyahut panggilan itu . Deringan telefon itu memberi makna yang penting buat kita. Tapi 'panggilan azan Subuh' tidak bermaknakah buat diri kita? Sekuat mana pun nada dering azan itu , kita biarkan , kita abaikan. Dia mencintai kita dan kita tak mencintainya. Cintanya kita tolak mentah -mentah. Sebentar lagi lah aku jawab panggilan itu . Sebentar lagi. Sebentar lagi. Akhirnya panggilan itu terbiar tanpa jawapan.

Sms cinta pagi dari Allah kita abaikan tanpa rasa bersalah dan rasa penyesalan. Cinta itu kita tolak. Kita tak memerlukannya. Tiada erti , tiada makna , tiada kepuasan , tiada signifikasi menjawab panggilan itu . Dia bukan yang kita cintai. Keberadaannya bersama cintanya tidak memberi makna buat diri kita. ''Aku hanya cinta dia. Insan yang bergelar manusia. Di hatiku tiada namanya. ''

Oh , ruginya kita. Cinta yang agung kita tolak dengan mentah. Cinta yang punya kemanfaatan kekal kita pandang kosong dan sepi. Biarkan. Biarkan. Kita insan alpa yang hidup dalam kenistaan . Lupa keutamaan dalam menyahut cinta. Sms cinta pagi dari tuhan sunyi tidak berbalas. Mungkinkah esok ada lagi sms cinta pagi dari Sang Pemilik Cinta ini??Balaslah panggilan dan sms cinta ini dan kita pasti beruntung!

Dan orang-orang yang beriman serta beramal solehsudah tentu Kami akan masukkan mereka dalam kumpulan orang-orang yang soleh (dengan mendapat sebaik-baik balasan). (Ankabut: 9)

Monday, January 16, 2012

Teh tarik 1 Malaysia


Tak lengkap malam kalau tak keluar. Fariz Maju Seksyen 15 B.B.Bangi tempat lepak . Wajib pekena teh tarik.Tips kesihatan bila order di kedai mamak ialah ' kurang manis ' . Mahu diabetes awl mintalah yg biasa...kawww punya. Malam pasti tidak dpt lelpkn mata. TEH TARIK 1 MALAYSIA . Kenapa? Semua minum. Semua suka. Jom pekena secawan!

Published with Blogger-droid v2.0.2

Rontaan emosi

Penat aku bersandiwara atas dunia ini. Walau sekadar  watak penghias pentas dunia. Melayan karenah manusia yang bermuka dan tak kurang juga yang bertopeng. Bersembunyi mungkin. Lempar batu sorok tangan. Pengejut. Lantang .Kononnya memperjuangkan keadilan. Ah , kau hanya  bermanis kata bermain nista . Padaku 'kau  cuba meraih polemik murah. Provokasi picisan. Hilang mana entiti dirinya. Hanyut dibawa emosi kegilaan. Kau dalam alam gila. Bukan aku .

Thursday, January 12, 2012

Kosong

Jiwa mula rasa kosong. Tiada yang menarik lagi. Hati rasa sepi. Keceriaan dulu kian menyepi. Mula rasa sakit. Mula rasa kosong. Aku tak suka begini. Pergilah jauh kekosongan . Jauhi aku . Jauhi aku .

Monday, January 9, 2012

Kes selesai

Hari ini kes selesai.Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas dari tuduhan liwat. Bagaimana perjalanan politik Malaysia kita selepas ini? Akan wujud lagikah kes-kes sebegini?Akan ada lagi agenda agenda bersih atau kotor ini? Berapa banyak lagi demo atau perhimpunan yang akan berlaku selepas ini.

Aku hanya mengikuti. Berbual kosong di kedai mamak. Tiada kesan kata-kataku pada dunia. Cukup bagi aku memerhati. Tak perlu fanatik. Tak perlu terburu-buru. Kebenaran akan tetap diperjuangkan dan mendapat haknya. Satu tindakan kita. Undi. Usah cakap banyak. Kuasa yang ada hanya undi. Satu orang satu undi. PRU 13.

# aku masih tak layak mengundi.

Sunday, January 8, 2012

Pepahat @ Bamboo Lala

Weekend minggu pertama 2012 aku isi dengan menziarahi pak su dan mak su aku yang duduk di Ampang. Jemputan yang entah kali ke berapa oleh mak su dan pak su  kali ini aku penuhi . Memang telah lama hajat dihati untuk bermalam dan bersama mereka.

Dua restoran yang aku kunjungi sepanjang bersama mereka. Restoran Tupai-Tupai Ampang dan Wadi Hadramawt Ampang.

Seafood baru yang aku cuba yang diperkenalkan oleh pak su . Bamboo lala @ pepahat. Rasanya memang sedap. Tak tahu nak terangkan bagaimana tapi perlu rasa sendiri. Kali pertama mencuba dan ia benar-benar kene dengan selera aku. Rupanya agak pelik tapi rasanya 'yummy'.



Bamboo Lala  / Pepahat
# mengembaralah ke seluruh dunia milik Allah dan nikmati keagungan ciptaannya. berzikir, bertahmid dan bertasbihlah atas nikmat-nikmati yang dirasai.

Saturday, January 7, 2012

Apa nak baca tahun baru ni

Sekarang baru rasa terpanggil untuk mengikuti isu semasa di Malaysia mahupun di dunia.

Isu hangat awal tahun baru ini

1. Isu pelajar cemerlang SPM di Universiti Edinburgh
2. Kes keputusan liwat Anwar Ibrahim
3. PRU 13
4. iPhone 4s
5. Tablet dan android
6. Tudung tahun baru
7. Ustaz Azhar Idrus


oh , banyaknya isu nak kene baca.haha.tak ada keje boleh lah jelajah seluruh internet ni.

Wednesday, January 4, 2012

tahun baru

2012 . Tahun baru. Hari baru. Masa yang berlalu tak akan kembali lagi. Masa silam dijadikan teladan dan pengajaran untuk menghadapi tahun baru yang mendatang dengan lebih baik. Lupakan kisah duka dan derita yang menghimpit diri. Buka lembaran baru. Usah berpaling lagi. Mulakan langkah dengan jitu tanpa ragu ragu. Moga tahun ini lebih baik buat diri ku.


Published with Blogger-droid v2.0.2