Tuesday, January 24, 2012

Kuatkah Kita?

Gagah lelaki itu. Dia mampu mengangkat objek yang berpuluh-puluh kilogram dengan mudah. Tangannya yang berurat dan ber’otot’  itu bukti dia merupakan lelaki yang kuat. Lelaki yang hebat. Masyarakat dan mungkin diri kita sendiri sering membuat konklusi sedemikian. Konklusi berdasarkan pemerhatian. Ia benar . Tak salah. Cuma ada yang tertinggal iaitu konklusi kita tanpa atas kefahaman agama.

Kita puji dia , mereka dan diri kita sendiri. Melihat hanya pada mata kaca seorang manusia. Fizikal dan luaran adalah segalanya. Lantas seorang demi seorang manusia diagungkan kehebatannya. Diiktiraf kekuatan yang dimiliki. Wujud pelbagai nama dan gelaran buat mereka. ‘Iron Man ‘ ‘Superman’ dan mungkin juga ‘Ip Man’. Dan tak lupa lelaki yang punya kekasih akan mengaku dirinya sebagai ‘yourman’ dan semestinya kekuatan yang ada untuk manfaat yang dikasihi.

Dimomokkan dengan kekuatan lahiriah membuatkan kebanyakan daripada kita lupa asal usul diri dan tujuan penciptaan. Apa yang dikejar hanya gelaran dan nama. Imbuhan yang berupa harta benda dan populariti  menyebabkan kita semakin lupa kepada Pemilik  Dunia. Kita kaya di dunia. Kaya harta . Kaya nafsu. Kita lupa soal iman dan soal agama. Ia bukan keutamaan buat diri yang gagah dan kuat.

Suatu ketika tanpa diduga , musibah menimpa. Si fulan dan si fulan terlibat dalam bencana dan malapetaka. Patah kaki  dan patah tangan. Hilang kaki hilang tangan . Objek yang berat tidak lagi mampu diangkat. Tubuh sendiri juga tak mampu dikawal sebaiknya. Berat sahaja. Sakit dirasa di sana sini. Hanya si sakit merasa keperitan dan kesukaran itu.  ‘Iron Man’ lagikah? Hilang senyuman manis. Hilang jeritan ‘juara’ ‘si kuat’ ‘si badang’ yang dilaung-laung selama ini.

Keluhan demi keluhan keluar dari mulut. ‘Kalaulah ..kalaulah..’’ Si sakit mula mempersoalkan takdir tanpa memikirkan siapa dirinya. Apa hak manusia untuk mempersoalkan takdir. Lantas tatkala sakit yang menimpa dirasakan terlalu berat untuk ditanggung , kalimah ini diucapkan ‘ kalaulah aku mati dalam bencana itu , itukan lebih baik.’ Putus asa. Hilang imannya saat itu.

Pengharapan dan pergantungan diri kepada Yang Maha Esa putus saat itu. Sakit yang ditanggung dirasakan terlalu berat untuk dipikul . “Iron Man ‘’ suatu ketika dahulu mahu ‘mati’ sahaja saat ini. Tidak mengapa hilang gelaran ‘Iron Man’ itu asalkan kesakitan yang dirasakan hilang lesap .

Pemikiran singkat , iman cetek. Langsung tidak difikirkan nasib kehidupan dunia selepas kehidupan di dunia. Dihisab dan ditimbang. Amal baikkah yang berat atau sebaliknya? Sudah banyakkah amal kebajikan dan amal soleh yang dilakukan untuk tergolong dalam ahli syurga? Sudah difikirkan semua ini saat melafazkan ‘ kalaulah aku mati dalam bencana itu , itukan lebih baik.’? Tidak. Tidak. Semua ini tidak difikirkan. Ketika itu kesakitan yang ditanggung hanya satu-satu perkara yang difikirkan.

Kuat lagikah kita apabila bencana dan kesakitan menimpa? Hari ini mulutmu petah berkata. Tangan dan kakimu gagah melangkah. Tubuhmu boleh kau lakukan mengikut nafsumu. Tiada halangan . Itu nikmat! Itu keselesaan. Jelas, kita hanya akan sedari pabila ia hilang pada diri . Saat ia ditarik dari diri kita. Keluhan demi keluhan akan dilafazkan. Penyesalan yang terlambat. Pasti tidak berguna lagi. Ikut hukum dan adat alam , tidak mungkin tangan yang putus akan tumbuh kembali , mustahil lumpuh seluruh badan akan sembuh dalam masa yang singkat. Tapi ke jalan manakah kekuatan yang kita ada pada hari ini kita manfaatkan?

Kaki ini kerap melangkah ke tempat-tempat yang melalaikan. Pawagam , tempat karaoke, pub-pub malam , pusat membeli belah dan pasar-pasar tumpuan manusia. Tempat-tempat yang tidak ada pembinaan iman dan takwa kita tuju dan kita hadiri tiap-tiap ketika dan masa. Tenaga yang ada digunakan untuk memuaskan nafsu . Ke hulu dan ke hilir  demi memuaskan nafsu yang  tak pernah merasa cukup . Akhirnya , malamnya sunyi tanpa Ilahi. Jauh. Cukup jauh dari Rabb yang dicintai. Kuatkah kita ?  Iye. Kita kuat. Kuat dalam melakukan maksiat dan dosa kepada Allah. Kita lemah dalam mengabdikan diri kepadaNYA. Lemah selemah lemahnya!

 Kekuatan itu milik Tuhan. Milik Allah s.w.t sahaja. Kita cuma dipinjamkan sedikit sahaja kekuatan dengan kebenaranya. Tapi kita bongkak dan alpa dengan apa yang dipinjamkan. Merasakan kekuatan itu milik kita. Tak perlu dipulangkan dan disoal tentangnya. Buta bahawa ia nikmat Tuhan yang dipinjamkan. Lalai kerana kelazatan dunia yang diperolehi. Lemah , lemah , lemah. Kita insan lemah.

Tak pernah terlambat untuk kita bina kekuatan iman dan takwa. Kita masih punya masa. Bertaubatlah. Muhasabahlah. Ayuh , kita manfaatkan kekuatan yang ada pada diri kita untuk agama kita. Untuk Islam. Untuk membina iman dan takwa. Untuk melakukan kebaikan dan kebajikan kepada orang lain. Pasti , rahmat Allah untuk kita. Insya Allah.

# Firman Allah : 
 Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir".
( Al Baqarah 2 : 286)


2 comments:

Edy Fee said...

dunia nak kimaat..ni kes baru letupan magnet ke ape tah..huhu sakit la kita...masyaAllah

Uwais Al Qarni Bin Mohd Isa said...

kita kene bersedia fizikal dan rohani..sama2 berusaha.:)