Tuesday, December 20, 2011

Jangan Tersungkur Kerana Susuk Tubuh Milik Tuhanmu


Ingin aku kongsikan hasil pembacaan artikel yang terdapat dalam majalah solusi edisi ke 38 dalam huraian aku sendiri.Tajuk yang cukup sinonim dengan wanita dan gadis-gadis masa kini.  Aurat. Topik ini tak akan putus dari perbahasan dan tak akan lari dari bibir yang bergelar wanita.

 Banyak bait-bait kata yang terdapat dalam artikel jelas membuatkan aku tergambar realiti yang sedang aku lalui.Iya, aku lihat perubahan mereka dan aku sedih dengan perubahan yang membawa mereka terjerumus dan leka kepada jalan-jalan kelalaian . Dulu , awal-awal aku keluar dari zaman persekolahan , tiap-tiap kali melihat kawan-kawan yang mula jatuh rebah mengikut ‘trend’ atau gagal mengekalkan prinsip aurat yang dipegang, hati aku meruntun kesedihan , sebak , dadaku sesak.Kenapalah mereka mudah sangat terpengaruh dan mudah sangat leka dengan ‘kemewahan, keindahan , kecantikan’ dunia yang fana ini.

‘’Patutlah saya lihat dahulu mereka memakai tudung labuh tetapi kemudiannya tudungnya semakin singkat ,lama kelamaan mula memakai seluar ketat kemudian berubah kepada memakai baju t sendat..lama-kelamaan bertudung ala kadar sahaja’’.

‘’Perubahan luaran merupakan gambaran perubahan hati’’

Kalau berdalilkan nafsu , bertuhankan dunia nescaya kita akan binasa . Kelebihan umat Muhammad s.a.w ialah tidak akan mendapat azab ‘on the spot’ seperti umat-umat yang terdahulu. Sebaik sahaja didoakan oleh para nabi atau rasul , bala Allah terus menimpa mereka. Ribut taufan , perkampungan diterbalikkan menjadi laut mati , rumah dan manusia ditelan bumi dan berbagai azab lagi jelas dan nyata untuk dijadikan teladan dan pengajaran. Beruntungnya kita kerana diberi penangguhan. Jika hari ini kita berdosa, taubat jalan penyelesaiannya. Benar!Itu tanda Maha Penyayang Allah dan Maha Pengampun Allah kepada kita umat Islam , umat nabi Muhammad s.a.w.

Jadi, kenapa kita berpaling pada kebenaran.Kau dan aku  hanyut dalam dunia?Kau dan aku  leka dengan dunia?Apa alasan kau dan aku untuk berbuat begitu?? Ya!Aku tujukan khas buat mereka yang pernah belajar agama secara khusus termasuk diriku ini. Peringatan , nasihat dan ilmu telah acapkali diberikan . Sama ada kau/ aku memberi nasihat atau aku/ kau mendengar nasihat. Perkataan aurat telah lazim di telingamu. Kau/aku tahu dan mengerti benar akannya tapi kadangkala ia membuatkan aku bingung kenapa bila tamat masa itu kau lupa.Mungkin saja-saja buat-buat tidak tahu.
Firman Allah ini ,pasti pernah kau baca dan dengar.

dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.’’
(Surah Nur 24:31)

Apa lagi alasan yang hendak kita berikan untuk menidakkan hak ini?Kita akan beralasan dan sentiasa memberi alasan untuk turut sama bergaya dan menjadi cantik mengikut hawa nafsu. Tak salah berfesyen tapi syariaat perlu dijaga dan diutamakan. Kenapa perlu berpakaian seperti ‘perempuan murahan’ tatkala fesyen Islam sudah mula mendapat tempat dalam masyarakat. Apakah mentaliti rakyat Malaysia hari ini masih memuja-muja fesyen dari barat lagi?Tidak bukan? Kita sudah dapat menerima bahawa fesyen untuk wanita masih banyak walaupun berlandaskan kepada Islam. Maka buatlah pilihan yang betul.

Tak akan pernah terlambat untuk berhijrah kepada kebaikan selagi nyawa kita tidak berada dikerongkong. Taubat dan 
penyelasan kita akan diterima oleh Allah.Insyaallah. Bukan aku menghina kalian , bukan aku menjatuhkan maruah kalian , tapi aku sedang memberi peringatan dan nasihat kepada diri ini yang merupakan abang kepada seorang adik perempuan , anak kepada seorang ibu , bakal suami kepada seorang isteri , bakal ayah kepada anak-anak. Peringatan yang berupa coretan ini menjadi saksi bahawa hak menutup aurat mengikut syariat islam ini satu keutamaan buat aku.
Iye , kita boleh berubah. Kuatkan dalaman kita. Al quran dijadikan bacaan harian , hadis dijadikan santapan rutin , zikir menjadi basahan lidah , bibir dan hati. Insyaallah kita akan mampu menjadi individu Muslim dan Muslimah yang bertakwa. Bukan kejayaan yang dilihat pada keseluruhannya tapi usaha dan ‘istiqamah dan mujahadah’ yang kita lakukan dalam mengejar keredhaan Allah dengan mengikut hukum dan panduan yang disyariatkan Islam. Isu aurat bukan isu wanita sahaja .Ia isu lelaki.Ia isu semua yang bergelar muslim .

Buat yang sedang berhijrah, kuatkan dirimu. Dunia ini akan sentiasa mengecam kebaikan yang dibuatmu. Allah sentiasa bersamamu. Yakinlah , kuatlah , kita mampu terus berhijrah dan istiqamah dalam jalan kebaikan. Insyaallah.

# aku bukan insan yang baik tapi aku sedang menuju padanya.

#kamu pernah melihat dan mengetahui aibku , maka aku bukanlah yang terbaik untuk menasihatimu tetapi aku laksanakan jua kerana aku tidak mahu ada yang menjadi seteruk aku.

# memang mudah bercakap/menulis tetapi sukar untuk dilaksanakan . Itu aku tahu . Tapi tak salah kan berubah kepada kebaikan?

 # andai penulisan ini ternyata kasar atau tidak berhikmah , tegurlah aku untuk mampu menyampai kebenaran dalam hikmah.