Bila sudah
sakit baru kita akan ingat Allah , apabila sudah tiada yang ingin membantu
barulah kita mula mengadu dan memohon bantuan kepada Allah s.wt. Allah hanya
wujud tatkala susah dan apabila kita kesempitan sahajakah? Ini realiti masa
kini . Tak perlu dipertikaikan lagi kesahihannya. Lihat sahaja diri kita ,
lihat teman-teman kita , lihat orang sekeliling kita. Berapa banyak kali tangan
ditadahkan , hati ditundukkan dan doa dititipkan bagi memohon sesuatu
permintaan daripada Allah s.w.t ?
Seusai menunaikan
solat terus bergegas ke tempat kerja atau berlari menyambung tuntutan dunia ,
ke mana perginya doa kita? Solat didirikan tetapi tiada doa yang dipohonkan.
Sempurnakah kita? Nabi dan rasul yang bertaraf maksum jua berdoa dan memohon
hajat kepada Allah tetapi kenapa tidak kita? Bagus sangatkah kita ini kerana
tak perlu memohon pada Allah dan tak perlu merintih mengadu kelemahan yang
dilalui. Itu bagi yang menunaikan kefarduan solat , yang tidak ? Bilakah
saatnya doa dipanjatkan? Pernahkah berdoa? Pernah!! Tetapi tatkala telah
tersungkur kekecewaan , setelah kegagalan dan apabila tiada jalan keluar yang
dapat ditemui lagi . Bolehkah doa hamba yang ‘kaya maksiat’ , ‘firaun dunia’ , ‘
raja nafsu ‘ dimakbulkan doanya serta merta? Sedangkan doa Nabi Allah Musa dan
Harun juga dimakbulkan setelah 40 tahun doa dipanjatkan tanpa putus asa dan
dengan penuh pengharapan agar Firaun serta tenteranya yang ingakr kepada Allah dibinasakan!
‘’60. dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah
kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang
Yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka
jahannam dalam keadaan hina.’’
Surah Mu’min 40 : 60
Firman
Allah ini pasti telah lazim kita dengar namun sejauh manakah penghayatan kita
terhadap janji Allah ini? Saja aku timbulkan persoalan demi persoalan dalam
penulisan aku ini kerana ia muhasabah buat diriku ini juga dan aku ingin sekali
kita semua sentiasa menghisab diri ini sebelum berlakunya Hari Penghisaban
Agung.
Yang
jarang-jarang berdoa pasti cepat putus asanya pabila doanya tidak dimakbulkan.
Begitu juga yang rajin berdoa akan berhenti berdoa kerana doa yang dipanjatkan
sekian lama tidak juga kunjung tiba. Putus asa. Bertepuk syaitan laknatullah
apabila melihat putusnya pengharapan kita kepada Allah. Berjaya!
Ingat . Doa
yang kita panjatkan bukan tidak dimakbulkan tetapi penerimaan doa kita menurut
ketentuan Allah dan bukannya mengikut kehendak kita dan bukan pula pada waktu
yang kita fikirkan. ‘ Kita merancang , Allah juga merancang , namun sebaik-baik
perancangan ialah dari Allah s.w.t. ‘ Itu yang perlu ada dalam diri kita. Kita
hanya hamba Allah yang tidak ada kuasa dan kehebatan melainkan dengan izin
Allah jua.
Oleh itu ,
aku seru diriku dan semua pembaca agar
sentiasa berdoa kepada Allah. Merintihlah kepada Allah kerana Allah sebaik-baik
pendengar rintihan . Lazimkan diri kita bangun malam. Bertahajudlah , bermunajatlah
, mohonlah agar kita ditempatkan ditempat orang-orang yang soleh dan usaha yang
kita laksanakan sentiasa mendapat bantuan dan keredhaan Allah s.w.t.
Yakinlah
pada sabdaan Rasulullah s.a.w ini :
‘ Doa
seseorang daripada kamu pasti akan diperkenankan selama kamu tidak meminta
disegerakan pengabulan dengan mengatakan , ‘ Aku sentiasa berdoa kepada Tuhan
tetapi mengapa masih belum dikabulkan?’’
( muttafaq’alaih)
No comments:
Post a Comment