Gagah
lelaki itu. Dia mampu mengangkat objek yang berpuluh-puluh kilogram dengan
mudah. Tangannya yang berurat dan ber’otot’ itu bukti dia merupakan lelaki yang kuat. Lelaki
yang hebat. Masyarakat dan mungkin diri kita sendiri sering membuat konklusi
sedemikian. Konklusi berdasarkan pemerhatian. Ia benar . Tak salah. Cuma ada
yang tertinggal iaitu konklusi kita tanpa atas kefahaman agama.
Kita puji
dia , mereka dan diri kita sendiri. Melihat hanya pada mata kaca seorang
manusia. Fizikal dan luaran adalah segalanya. Lantas seorang demi seorang
manusia diagungkan kehebatannya. Diiktiraf kekuatan yang dimiliki. Wujud
pelbagai nama dan gelaran buat mereka. ‘Iron Man ‘ ‘Superman’ dan mungkin juga ‘Ip
Man’. Dan tak lupa lelaki yang punya kekasih akan mengaku dirinya sebagai ‘yourman’
dan semestinya kekuatan yang ada untuk manfaat yang dikasihi.
Dimomokkan
dengan kekuatan lahiriah membuatkan kebanyakan daripada kita lupa asal usul
diri dan tujuan penciptaan. Apa yang dikejar hanya gelaran dan nama. Imbuhan
yang berupa harta benda dan populariti menyebabkan
kita semakin lupa kepada Pemilik Dunia.
Kita kaya di dunia. Kaya harta . Kaya nafsu. Kita lupa soal iman dan soal
agama. Ia bukan keutamaan buat diri yang gagah dan kuat.
Suatu ketika
tanpa diduga , musibah menimpa. Si fulan dan si fulan terlibat dalam bencana
dan malapetaka. Patah kaki dan patah
tangan. Hilang kaki hilang tangan . Objek yang berat tidak lagi mampu diangkat.
Tubuh sendiri juga tak mampu dikawal sebaiknya. Berat sahaja. Sakit dirasa di
sana sini. Hanya si sakit merasa keperitan dan kesukaran itu. ‘Iron Man’ lagikah? Hilang senyuman manis. Hilang
jeritan ‘juara’ ‘si kuat’ ‘si badang’ yang dilaung-laung selama ini.
Keluhan
demi keluhan keluar dari mulut. ‘Kalaulah ..kalaulah..’’ Si sakit mula
mempersoalkan takdir tanpa memikirkan siapa dirinya. Apa hak manusia untuk
mempersoalkan takdir. Lantas tatkala sakit yang menimpa dirasakan terlalu berat
untuk ditanggung , kalimah ini diucapkan ‘ kalaulah aku mati dalam bencana itu
, itukan lebih baik.’ Putus asa. Hilang imannya saat itu.
Pengharapan
dan pergantungan diri kepada Yang Maha Esa putus saat itu. Sakit yang
ditanggung dirasakan terlalu berat untuk dipikul . “Iron Man ‘’ suatu ketika
dahulu mahu ‘mati’ sahaja saat ini. Tidak mengapa hilang gelaran ‘Iron Man’ itu
asalkan kesakitan yang dirasakan hilang lesap .
Pemikiran
singkat , iman cetek. Langsung tidak difikirkan nasib kehidupan dunia selepas
kehidupan di dunia. Dihisab dan ditimbang. Amal baikkah yang berat atau
sebaliknya? Sudah banyakkah amal kebajikan dan amal soleh yang dilakukan untuk
tergolong dalam ahli syurga? Sudah difikirkan semua ini saat melafazkan ‘
kalaulah aku mati dalam bencana itu , itukan lebih baik.’? Tidak. Tidak. Semua
ini tidak difikirkan. Ketika itu kesakitan yang ditanggung hanya satu-satu
perkara yang difikirkan.
Kuat
lagikah kita apabila bencana dan kesakitan menimpa? Hari ini mulutmu petah
berkata. Tangan dan kakimu gagah melangkah. Tubuhmu boleh kau lakukan mengikut
nafsumu. Tiada halangan . Itu nikmat! Itu keselesaan. Jelas, kita hanya akan
sedari pabila ia hilang pada diri . Saat ia ditarik dari diri kita. Keluhan
demi keluhan akan dilafazkan. Penyesalan yang terlambat. Pasti tidak berguna
lagi. Ikut hukum dan adat alam , tidak mungkin tangan yang putus akan tumbuh
kembali , mustahil lumpuh seluruh badan akan sembuh dalam masa yang singkat.
Tapi ke jalan manakah kekuatan yang kita ada pada hari ini kita manfaatkan?
Kaki ini
kerap melangkah ke tempat-tempat yang melalaikan. Pawagam , tempat karaoke,
pub-pub malam , pusat membeli belah dan pasar-pasar tumpuan manusia. Tempat-tempat
yang tidak ada pembinaan iman dan takwa kita tuju dan kita hadiri tiap-tiap
ketika dan masa. Tenaga yang ada digunakan untuk memuaskan nafsu . Ke hulu dan
ke hilir demi memuaskan nafsu yang tak pernah merasa cukup . Akhirnya , malamnya
sunyi tanpa Ilahi. Jauh. Cukup jauh dari Rabb yang dicintai. Kuatkah kita
? Iye. Kita kuat. Kuat dalam melakukan
maksiat dan dosa kepada Allah. Kita lemah dalam mengabdikan diri kepadaNYA.
Lemah selemah lemahnya!
Kekuatan itu milik Tuhan. Milik Allah s.w.t
sahaja. Kita cuma dipinjamkan sedikit sahaja kekuatan dengan kebenaranya. Tapi
kita bongkak dan alpa dengan apa yang dipinjamkan. Merasakan kekuatan itu milik
kita. Tak perlu dipulangkan dan disoal tentangnya. Buta bahawa ia nikmat Tuhan
yang dipinjamkan. Lalai kerana kelazatan dunia yang diperolehi. Lemah , lemah ,
lemah. Kita insan lemah.
Tak pernah
terlambat untuk kita bina kekuatan iman dan takwa. Kita masih punya masa.
Bertaubatlah. Muhasabahlah. Ayuh , kita manfaatkan kekuatan yang ada pada diri
kita untuk agama kita. Untuk Islam. Untuk membina iman dan takwa. Untuk
melakukan kebaikan dan kebajikan kepada orang lain. Pasti , rahmat Allah untuk
kita. Insya Allah.
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang
terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga
menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata):
"Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa
atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan
Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang
terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada
Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami,
serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong
kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum
Yang kafir".
( Al Baqarah 2 : 286)
2 comments:
dunia nak kimaat..ni kes baru letupan magnet ke ape tah..huhu sakit la kita...masyaAllah
kita kene bersedia fizikal dan rohani..sama2 berusaha.:)
Post a Comment