Tuesday, July 9, 2013

Ramadan Menjelang Tiba

Ramadan kali ini moga menjadi titik perubahan buat seluruh umat Islam, Ia disambut saban tahun tetapi ibrah dan natijah yang diperoleh daripada tarbiyah sebulan itu biasanya hanya lapar dan dahaga, Bentuk badan yang kian ramping atau berat badan yang semakin berkurang sahaja merupakan kesan zahir yang diperoleh, Hebat. Itu sememangnya kesan positif ramadan yang mana kita perlu berpuasa makanan dan minuman sepanjang siang hari ramadan tersebut.
Apa yang perlu kita lakukan untuk Ramadan kali ini?
Ayuh teman dan kenalan, sama sama kita perbanyakkan membaca Al Quran, Bukan sahaja kita jadikan sebagai pembasah mulut malah perlu dan perlu kita fahami maksud disebaliknya. Membaca tanpa kefahaman boleh diibaratkan bagai burung kakaktua yang petah berkata dan mengajuk kata kata manusia. Hakikatnya, ia tidak mengetahui apa yang dipertuturkan.
Jadikan Ramadan kali ini sebagai perkhemahan ibadah yang ulung. Meriahkan malam malam Ramadan dengan tarawih dan  qiamulail.Jangan kita hangat membara pada 10 awal Ramadan namun adalah lebih baik jika kita terus istiqamah dan berterusan melakukan ibadah yang berupa solat-solat sunat. Berat untuk kita melakukan ibadah sekiranya azam dan keikhalasan tidak dipupuk dan disemai sejak awal menyambut bulan agung ini.
Lazimi melalukan masa yang berdetik pergi dengan beristigfar.Mohonlah dan panjatkanlah keampunan kepada Rabb yang Esa agar dosa dan kesilapan yang lalu diampunkan. Sungguh keampunan dan rahmat Allah pada bulan ini amatlah luas.
Sama sama kita berdoa agar dapat kita temui dan lalui Ramadan tahun ini dengan penuh manfaat dengan kebajikan dan amal soleh.

Thursday, June 6, 2013

Perbandingan

Hitam putih cerah gelap kaya miskin
Realiti memang mewujudkan perbandingan
Walau kita tidak mahu
Ia mencorakkan dunia dengan seribu satu warna

Dalam hitam ada cerita
Pada putih tersirat seribu makna
Tatkala cerah beribu terpesona
Dikala gelap ada sahaja cerita
Dia si kaya akan dipuja
Yang miskin selalu menjadi mangsa

Mengapa dan kenapa
Persoalan yang tak akan pernah terjawab
Subjektif yang merumitkan
Berbeda manusia berbeda jawapan
Jelas kita kenal beza itu
Hitam putih cerah gelap miskin kaya

Monday, June 3, 2013

Jalan pulang.

Compang camping kehidupan bisa mendewasakan
Perit jerih kesungguhan selalunya membuahkan hasil
Tapi terkadang gagal itu menjelma jua

Menangis lagi manusia kolot berpaksikan nafsu
Harta dan hiburan yang tak pernah cukup
Buas bagai harimau di hutan rimba
Tamak pada daging yang nan secebis.

Satu kalimah yang sudah lama disisihkan
Syukur.
Kurang manusia menyebutnya
Kurang dan kurang manusia menghayatinya,

Thursday, May 30, 2013

Kegilaan emosi

Aku gila dalam lautan emosi
Suka duka sengsara derita
Berkitar bagai hujan yang turun
Sejuk tatkala turunnya
Namun ribut dan taufan acapkali mengirinya
habis semuanya amanlah segala
Musnah itu kekal itu seketika masa.

Monday, March 4, 2013

Omelan #29

Banyak perkara yang terbuku dan terpahat dalam hati ini dan akan terus bersemadi bersama pergerakan masa dan zaman.Tak banyak boleh diluah.Jangan melukai tapi dilukai tidak mengapa. Kerana itu lebih aman dan terjaga bagiku. Moga aku kuat dan terus matang dalam mengurus dan menghadapi kehidupanku kini.

Tuesday, January 8, 2013

Omelan #28

Kadang kita perlu tinggalkan kesenangan dan kelapangan untuk kebaikan masa hadapan,
Aku mempersoal diri,
Mampukah aku hari ini kembali bersusah dan memberatkan diri ini,
Tanggungjawab,amanah, masalah dan liku liku ujian,
Terdayakah jasa dan mental ini mengharungi ini semua,
Moga kekuatan itu datang.

Monday, December 31, 2012

Omelan #27

Dan hari berlalu,
Membawa bersamanya memori seribu satu
Ada duka ada suka
Terpahat kekal dalam diri,
Sebagai kenangan dan pengalaman.

Moga tahun baru,
Beri sirna baru,
Tiada lagi suara tinggi,
Tiada lagi lentingan haru biru,
Sejujurnya aku sudah tidak terima lagi semua itu,
Dari seorang ibu sejak aku tingkatan satu.

Entah, kadang hati jadi pilu.
Aku tak mengajarmu dengan tengkingan dan lentingan.
Penuh lembut dan kebudian.
Mungkin itu benar dan mungkin itu silap.
Aku terperangkap dalam sangkar dilemma.