Tips ini sesuai dipraktikkan oleh semua muslimin dan muslimat kerana saya akan berkongsi berkaitan tips percintaan bersama Allah. Tuhan Rabb yang wajib disembah dan ditauhidkan. Tidak ada satu pun yang sama atau setaranya. Tuhan yang menciptakan manusia dan mematikan manusia. Tuhan yang memberikan nikmat kehidupan , nikmat percintaan , nikmat kesihatan , nikmat kebijaksanaan , nikmat emosi dan sejuta nikmat yang tak terdaya oleh lidah untuk melafazkannya.
Sebelum saya memberikan tips perlu kita tahu kenapa kita perlu menyintai Allah?Sebab utama ialah Allah itu Tuhan yang menciptakan manusia. Allah yang memberikan kita perasaan cinta. Andai kita tidak menyintai pemilik rasa cinta , bagaimana mungkin perasaan cinta akan terus kekal dalam diri kita. Mungkin hari ini , kita mampu menyintai manusia namun selepas 5 tahun apakah kita mampu untuk menyintai manusia sekiranya perasaan cinta itu mula hilang atau hambar dalam diri kita? Tentu tidak ada rasa cinta lagi sekiranya kita tidak melestarikan cinta kita kepada pemilik cinta yang hakiki.
Tips yang pertama : Kenali Allah s.w.t
Bagaimana mengenali Allah? Cara yang termudah ialah melalui al Asma dan al Husna Allah ( nama-nama allah ). Terdapat 99 nama Allah yang indah. Tiap-tiap satunya memperlihatkan kehebatan Allah. Tiada kekurangan atau kecacatan pada Allah. Andai terlintas difikiran bahawa Allah itu seperti ini atau itu , tangkislah ia dengan dalil ini .
"Tiada tuhan yang seumpama denganNya. Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.''
Surah al syura 42:11
Boleh juga ditangkis dengan logik akal. Apakah sama pencipta dengan yang diciptakan? Tentu tidak. Fizikal pencipta pen / pensil bukan seperti pen atau pensil bahkan ia adalah manusia yang mempunyai nyawa dan roh. Dan semestinya Allah itu bukan seperti manusia dan bukan seperti alam ini kerana pencipta berbeza dari apa yang diciptakan.
Kita juga boleh mengenali Allah melalui petunjuk Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun baginda telah tiada disisi kita namun baginda telah mewariskan para ulama untuk menerangkan Al Quran dan As Sunnah.Apabila kita telah mengenali ulama maka secara tidak langsung kita akan mengenali Allah dengan lebih dalam lagi.
Tips yang kedua : Sentiasa Positif Terhadap Ketentuan Allah
Untuk menghangatkan hubungan percintaan , persepsi tentang yang dicintai amat penting. Sepatutnya tiada keraguaan atau was -was dalam menyintai Allah. Ini kerana Allah itu bersifat dengan sifat -sifat kemulian. Allah itu menurut sangkaan kita. Oleh itu sentiasalah bersangka baik dan pisitif terhadap Allah.
Firman Allah :
dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
Al Baqarah 2 : 186
Tips yang ketiga : Cinta Atas Kecintaan Allah
Bila hati sudah tertaut dengan yang dicintai , maka apa yang dicintai suka mesti menjadi kesukaan kita. Dalam menyintai Allah , perkara yang sama boleh dilakukan. Cintailah Rasulullah s.a.w , sunnah-sunnahnya , laksanakan kebaikan , amal kebajikan dan sebarkan agama Allah diseluruh dunia kerana perkara-perkara ini merupakan apa yang disukai Allah. Berulang kali Allah menegaskan manusia untuk melakukan amal kebaikan di dalam Al Quran. Oleh itu , berusahalah untuk melakukan perkara-perkara yang disukai dan diperintahkan oleh Allah. Insyaallah dengan kesungguhan dan keikhlasan dalam melaksanakan perkara-perkara tersebut cinta Allah akan berjaya dicapai.
Moga perkongsian ini dapat menghangatkan hubungan percintaan kita dengan Pemilik Cinta yang sebenar.
No comments:
Post a Comment