Wednesday, February 1, 2012

Masih Ada Peluangkah Kita Untuk Bertemu ‘’Dia’’?

Tak ramai antara kita yang berpeluang untuk berjumpa dengan nabi. Peluang untuk kita bertemu dengan nabi secara zahir adalah mustahil kerana nabi telah meninggalkan kita 1400 tahun yang lalu. Apa yang ada pada hari ini ialah agama Islam yang merupakan agama Allah yang disebarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Kita layari kisah-kisah di dalam Al Quran dan hadis –hadis nabi dan sahabat untuk mengetahui tentang  nabi terakhir kecintaan kita ini.

Pernahkah kita berhajat untuk berjumpa nabi? Punya perasaan yang kuat untuk berjumpa nabi sehingga  dipohonkan kepada Allah pada setiap masa terutama melalui solat fardu atau solat sunat. Persoalannya pernahkah kita berhajat untuk berjumpa dengan nabi? Jika dalam arus percintaan , berjumpa dengan kekasih yang dicintai adalah satu kemestian . Tidak dapat setiap hari pun tidak mengapa asalkan dapat berjumpa seminggu sekali. Jika tidak dapat juga , sebulan sekali pun diterima jua. Jika terhalang , melihat bumbung rumah atau barang-barang milik yang dikasihi  sudah cukup untuk melepaskan rindu yang bersemi.

Kuatnya ikatan orang yang bercinta. Mereka sentiasa mengharap pertemuan dengan yang dikasihi. Tapi berapa ramai antara kita yang ingin berjumpa dengan Nabi yang merupakan insan yang wajib dicintai? Orang –orang yang terpilih untuk berjumpa dengan nabi dalam mimpi merupakan insan yang beruntung. Dapat melihat nabi secara dekat dan jelas. Alangkah beruntungnya mereka. Baru –baru ini , ulama tersohor negara Tuan Guru Dato Dr Harun Din menceritakan kisahnya bertemu dengan nabi dalam mimpinya. Apa perasaan kita semasa dan selepas mendengar pengalaman berharga oleh beliau? Wujudkan perasaan cemburu atau ruginya kita kerana tidak berpeluang untuk berjumpa dengan Nabi? Perasaan ini perlu ada jika kita benar-benar menyintai Nabi pesuruh Allah ini. Ia bukan hasad yang buta. Ia bukan cemburu yang mengada-ngada!

Perlu kita muhasabah diri ini agar mampu untuk bertemu dengan nabi. Andai bukan saat kita hidup di atas muka bumi ini , kita perlu berusaha untuk bertemu dengan nabi saat dibangkitkan dan dihisab di Padang Mahsyar nanti. Langkah menongkah arus perlu dilaksanakan. Tinggalkan kelalaian kita dalam dunia maksiat. Mulakan dengan niat. Berhijrah ke arah kebaikan. Selawat ke atas nabi junjungan mulia perlu dijadikan basahan bibir dan hati. Jika tidak terdorong oleh keikhlasan , lakukanlah kerana kelebihan yang ada. Tidak mengapa untuk permulaan namun setelah itu berusahalah untuk ikhlaskan diri.  Pegang hadis ini kuat-kuat untuk dijadikan motivasi.

Sabda nabi s.a.w. ‘Barang siapa yang berselawat ke atasku sekali , nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak 10 kali ,hapuskan daripadanya sepuluh kesalahan dan diangkat padanya sepuluh darjat.”
( Hadis Riwayat Ahmad  , An Nasai , dan Al Hakim )

Nah , itu ganjaran yang pasti. Tidak mahukah kita mendapat rahmat yang 10 kali ganda daripada apa yang kita lafazkan. Jangan jadi buta lebih lebih lagi buta mata hati kerana ia membuatkan kita sesat dan duduk dalam kegelapan. Tidak nampak apa itu kebaikan , kebajikan , kelebihan dan keutamaan. Minta dan berdoalah kepada Allah agar kita dijauhkan daripada hal yang sedemikian. Sentiasalah mengharapkan syafaat Nabi dalam doa yang dipanjatkan. Berdoalah untuk terus istiqamah dalam melakukan amal soleh .

Mulakan saat ini dengan niat dan azam. Laksanakan kebaikan sedaya mungkin. Korbankan keselesaan dunia demi keselesaan yang hakiki. Solat di awal waktu , berjemaah di masjid, membaca Al Quran ,berzikir , berselawat, dan bersedekah mestilah dijadikan kemestian. Berjinak jinaklah dengan sunnah Nabi dan anjurannya. Laksanakan hak Allah dan hak manusia. Tinggalkan larangan Allah sebaik yang boleh. Bertaubat saat tersilap langkah. Pasti ! Peluang untuk bertemu Nabi Muhammad s.a.w ada untuk kita.



# Ya Allah , aku mohon terimalah aku dalam golongan orang –orang yang lurus. Berikanlah aku dan keluarga aku hidayah agar mampu hidup dalam syariatmu. Jauhkan kami dari kelalaian dan kemaksiatan. Pertemukanlah kami kepada Nabi Muhammad insan mulia pemberi syafaat hamba kesayanganmu. Amin.



2 comments:

Anonymous said...

SubhanaAllah, indahnya andai dapat bertemu nabi... tanda cinta pada nabi adalah dengan berusaha sedaya upaya mengamalkan sunnah2nya... apa nabi buat kita ikut, apa nabi larang, kita tinggalkan..kerana larangan nabi adalah Larangan Allah...-bersama memperbaiki diri, selagi peluang masih ada-

Uwais Al Qarni Bin Mohd Isa said...

insyaallah ,sama2 kita usaha.:)